Hadis Sahih Muslim No. 1127 Jilid 2 Topik adalah Puasa 1127. Dari 'Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a., katanya dia dilaporkan orang kepada Rasulullah saw. bahawa dia pernah berkata: "Sesungguhnya aku akan solat sepanjang malam dan puasa setiap hari selama hidupku." Lalu Rasulullah saw. bertanya kepada ku, "Betulkah engkau berkata demikian?" Jawab ku, "Benar, ya Rasulullah!" Maka bersabda Rasulullah saw., "Engkau tidak akan sanggup melakukannya. Puasalah satu hari, esok jangan. Tidurlah lebih dahulu sebelum solat malam, sesudah itu baru bangun. Dan puasalah tiga hari dalam sebulan, kerana tiap-tiap satu kebajikan akan diberi ganjaran sepuluh ganda, dan itulah contoh puasa sepanjang masa." Jawab Abdullah, "Sesunguhnya aku sanggup lebih dari itu." Jawab Rasulullah saw., "Kalau begitu puasalah satu hari, berbuka dua hari." Kata Abdullah, "Aku sanggup lebih dari itu, ya Rasulullah!" Jawab Rasulullah saw., "Puasalah satu hari, berbuka satu hari. Yang demikian itu adalah puasa Nabi Daud 'alaihissalam. Dan itulah puasa yang paling seimbang." Kata Abdullah, "Aku sanggup lebih dari itu." Jawab Rasulullah saw., "Tidak ada lagi yang lebih utama dari itu." Setelah Abdullah berumur lanjut, dia berkata: "Kalaulah ku terima puasa tiga hari seperti yang dianjurkan Rasulullah saw. kepada ku, tentulah akan lebih ku sukai daripada keluarga dan hartaku." |