Hadis Sahih Bukhari No. 1109 Jilid 2 Topik adalah JualBeli 1109. Dari Abu Said r.a., katanya: "Beberapa orang sahabat berpergian, sehingga mereka berhenti pada suatu kampung di antara kampung-kampung Arab. Para sahabat itu minta supaya mereka dijamu, tetapi orang kampung enggan menjamu mereka. Sementara itu, ketua kampung itu digigit binatang berbisa, dan telah mereka usahakan segala-galanya untuk mengubatinya, tetapi tidak satu pun yang bermanfaat baginya. Seorang di antara mereka berkata, "Pergilah kamu kepada para sahabat yang berhenti itu, mudah-mudahan ada di antara mereka yang dapat menolong." Lalu mereka pergi menemui para sahabat, kata mereka, "Wahai, orang banyak! Ketua kampung kami digigit binatang berbisa. Telah kami usahakan segala sesuatu untuk mengubatinya, tetapi tidak ada yang memberi manfaat baginya. Adakah di antara anda yang dapat menolong?" Seorang di antara mereka menjawab, "Ya, demi Allah! Sesungguhnya aku boleh mengubatinya. Tetapi demi Allah! Kami telah meminta kepada kalian supaya kami dijamu. Tetapi kalian tidak mahu menjamu kami. Aku tidak akan mengubatinya sebelum kalian menentukan berapa upah kami. Akhirnya mereka berdamai dan berjanji akan menyerahkan sekumpulan kambing. Maka pergilah sahabat itu mengubatinya. Ia menyembur si sakit dan membaca: Alhamdulillahi rabbil 'alaamiin (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam). Maka bagaikan tali yang diuraikan simpulnya, si sakit itu langsung berjalan dan sakitnya pun hilang. Katanya, "Bayarlah secukupnya upah mereka yang telah dijanjikan tadi." Di antara mereka yang menerima upah berkata, "Bagi-bagilah upah itu!" Kata yang membaca mentera, "Jangan kalian lakukan itu, sebelum kita datang kepada Nabi saw" menceritakan hal ini serta menunggu keputusan dari beliau." Mereka pun pergi menghadap Rasulullah saw., lalu mereka ceritakan hal itu kepada beliau. Sabda beliau, "Apakah sebabnya kamu mengatakan bahawa ucapan itu mantera?" Kemudian beliau bersabda lagi, "Sesungguhnya kalian telah betul. Bahagi-bahagilah upahmu, dan beri aku sebahagian." Kemudian Rasulullah saw. tertawa. |