Hadis Sahih Bukhari No. 1108 Jilid 2 Topik adalah JualBeli 1108. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Telah pergi tiga golongan dari orang-orang yang sebelum kamu sehingga mereka bertemu dengan sebuah gua tempat bermalam, lalu mereka masuk ke dalamnya. Tiba-tiba sebuah batu besar jatuh dari gunung, lantas menutup pintu gua sehingga mereka terkurung di dalamnya. Kata mereka, "Tidak ada yang dapat melepaskan kalian dari bencana batu ini, melainkan apabila kamu mendoa kepada Allah dengan amal soleh mu." Maka mendoalah seorang di antara mereka, "Wahai, Allah! Aku mempunyai ibu-bapa yang sudah tua. Biasanya aku tidak mahu memberi minum keluarga dan hamba sahaya ku sebelum keduanya selesai minum. Pada suatu hari aku pergi mencari sesuatu, sedangkan aku lama baru kembali, kepada keduanya sehingga mereka tertidur. Aku memerah susu untuk mereka, tetapi ku dapati keduanya masih tidur. Dan aku tidak mahu memberikan minuman itu kepada keluarga dan sahaya ku, sebelum kedua orang tua ku itu minum lebih dahulu. Aku diam menunggu beliau berdua bangun dari tidurnya, sedangkan gelas tetap berada di tangan ku hingga keduanya bangun ketika fajar telah menyingsing. Setelah mereka bangun, lalu ku beri mereka minum dengan minuman yang telah ku sediakan itu. Wahai, Allah! Jika aku berbuat demikian betul-betul kerana mencari redha Engkau, maka bukakanlah bagi kami batu ini di mana kami terkurung di dalam gua ini kerananya." Maka bergeserlah batu itu sedikit, tetapi mereka masih belum dapat keluar. Nabi saw. menceritakan bahawa yang lain mendoa pula. Katanya: "Wahai. Allah! Ada seorang gadis yang sangat ku cintai, ialah anak pakcik ku sendiri. Pada suatu ketika aku mengingini dirinya, tetapi ia menolak permintaan ku. Setelah berlalu setahun lamanya, iaitu ketika menghadapi musim kemarau, ia datang kepada ku dan aku memberikan kepadanya seratus dua puluh dinar, supaya ia mahu lari dengan ku. Permintaan ku itu diturutinya. Tetapi ketika aku telah sanggup hendak menguasainya, ia berkata kepada ku: Tidak aku bolehkan engkau merusak cap kesucian ku, melainkan dengan cara yang benar (hak). Kerana itu aku merasa keberatan melakukan pekerjaan itu lalu aku pergi daripadanya sedangkan dia seorang gadis yang sangat ku cintai. Emas yang telah ku berikan kepadanya ku tinggalkan semuanya. Wahai. Allah! Kalaulah perbuatanku itu telah sesuai dengan keredhaan Engkau, bukakanlah batu ini bagi kami." Maka bergeser pulalah batu itu sedikit, tetapi mereka masih belum dapat keluar dari gua itu. Kata Nabi saw., orang ketiga pun mendoa pula. Katanya: "Wahai, Allah! Aku mengupah beberapa orang pekerja dan telah ku bayar lunas upah mereka, kecuali hanya seorang, kerana ia pergi dan upahnya tinggal. Maka ku tanam upahnya itu sehingga banyak membuahkan harta benda. Kemudian ia datang kepada ku.!" Katanya, "Wahai Hamba Allah! Bayarlah upah ku!" Aku katakan kepadanya, "Semua yang engkau lihat ini adalah upahmu. Unta, lembu, kambing dan biri-biri serta sahaya." Katanya, "Wahai, Hamba Allah! Janganlah engkau memperolok-olokkan ku." Jawab ku, "Sungguh! Aku tidak memperolok-olokkan mu. Maka diambilnya hartanya itu semuanya tanpa satu pun yang ketinggalan. Wahai, Allah! Kalaulah yang demikian itu saya perbuat semata-mata kerana menuntut keredhaanMu, bukakanlah pintu gua ini bagi kami, kerana kami terkurung di sini." Maka bergeserlah batu itu sehingga mereka dapat keluar dari gua itu. |