Hadis Sahih Muslim No. 1022 Jilid 2 Topik adalah Zakat 1022. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Ketika perang Hunain, Allah memberikan harta rampasan kepada Rasulullah saw. dari harta kaum Hawazin. Lalu Rasulullah saw. membahagikannya kepada kaum Quraisy berupa seratus ekor unta. Oleh kerana itu beberapa kaum Ansar berujar, "Semoga Allah mengampuni Rasulullah saw. yang telah memberi kaum Quraisy. Sedangkan kita dibiarkan saja oleh beliau, padahal pedang kita masih basah oleh darah musuh." Kata Anas, "Ucapan mereka itu disampaikan orang kepada Rasulullah saw. Kerana itu Nabi memerintahkan kaum Ansar supaya berkumpul di khemah kulit. Setelah mereka berkumpul, Rasulullah mendatangi mereka, lalu bertanya: "Benarkah berita yang sampai kepada ku tentang ucapan anda itu?" Cerdik pandai kaum Ansar menjawab, "Kami tidak pernah mengatakan yang demikian, ya Rasulullah! Tetapi pemuda-pemuda kamilah yang mengatakan: "Semoga Allah mengampuni Rasulullah yang telah memberi orang Quraisy. Sedangkan kita dibiarkannya saja. Padahal pedang kita masih basah oleh darah musuh." Sabda Rasulullah saw., "Sebenarnya aku hanya memberi orang-orang yang belum lama masuk Islam, sekadar untuk menghibur hati mereka. Apakah anda semua tidak rela kalau mereka pergi dengan harta benda dunia, sedangkan anda semua pulang ke rumah mu masing-masing bersama-sama dengan Rasulullah? Demi Allah! Apa yang anda bawa pulang sesungguhnya lebih berharga daripada apa yang mereka bawa." Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah! Kami rela, ya Rasulullah!" Sabda beliau, Anda semua bakal mendapatkan orang-orang yang sangat mementingkan peribadinya masing-masing; kerana itu sabarlah, sehingga anda berjumpa dengan Allah dan Rasul-Nya. Aku akan menunggu anda kelak di sebuah telaga." Jawab mereka, "Kami akan sabar, ya Rasulullah!" |