Hadis Sahih Muslim No. 0974 Jilid 2 Topik adalah Zakat 974. Dari Mundzir bin Jarir r.a., dari bapanya, katanya: "Pada suatu pagi ketika kami berada dekat Rasulullah saw., tiba-tiba datang serombongan orang tanpa sepatu, dan berpakaian selembar kain yang diselimutkan mereka ke badan mereka sambil menyandang pedang. Kebanyakan mereka bahkan mungkin seluruhnya berasal dari suku Mudhar. Ketika melihat mereka, wajah Rasulullah saw. berubah kerana terharu melihat kemiskinan mereka. Beliau masuk ke rumahnya dan kemudian keluar pula. Maka disuruhnya Bilal azan dan qamat, sesudah itu beliau solat. Sesudah solat beliau berpidato. Beliau membacakan firman Allah: "Hai, manusia! Taqwalah kepada Tuhan mu yang menciptakan kamu daripada satu diri; dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; kemudian daripada keduanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan menyebut nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain; dan peliharalah hubungan silatulrahim; sesungguhnya Allah selalu mengawasi kamu." (An Nisa' : 1) "Hai, orang-orang yang beriman! Taqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Hasyar : 18) Mendengar khutbah Nabi saw. itu, serta merta seorang lelaki menyedekahkan wangnya, pakaiannya, segantang gandum dan segantang kurma, sehingga Nabi saw. bersabda: "Sekalipun sebelah buah kurma." Maka datang pula seorang lelaki Ansar membawa sebuah kantong yang hampir tak tergenggam oleh tangannya, bahkan tidak terangkat. Demikianlah, akhirnya orang-orang lain pun mengikuti pula memberikan sedekah mereka, sehingga kelihatan olehku sudah terkumpul dua tumpuk makanan dan pakaian, sehingga kelihatan olehku wajah Rasulullah saw. jadi cemerlang bagaikan bersepuh emas. Maka bersabda Rasulullah saw., "Barangsiapa mengerjakan pekerjaan baik dalam Islam, maka dia memperoleh pahalanya daripada orang yang mencontoh perbuatannya itu, tanpa mengurangi pahala mereka masing-masing. Dan siapa yang melaksanakan pekerjaan jahat, maka dia akan mendapat dosanya, ditambah dengan dosa orang-orang yang mencontoh perbuatan buruknya itu, tanpa mengurangi dosa mereka masing-masing." |