Hadis Sahih Muslim No. 0946 Jilid 2 Topik adalah Zakat 946. Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Pada suatu malam aku pergi berjalan-jalan ke luar rumah. Tiba-tiba kelihatan oleh ku Rasulullah saw. berjalan seorang diri, tanpa seorang pun yang mendampingi beliau. Aku mengira bahawa beliau enggan ditemani ketika itu oleh siapa pun. Kerana itu aku berjalan di keredupan cahaya bulan. Tiba-tiba beliau melihat ku dan bertanya, "Siapa itu?" "Aku, Abu Dzar" jawab ku. "Semoga Allah menjadikan ku tebusan anda." Sabda beliau, "Hai, Abu Dzar, kemarilah !" Lalu aku berjalan bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau, "Kaum hartawan itu di hari kiamat kelak mereka miskin. Kecuali orang-orang yang dikurnia Allah kebajikan, lalu dibagi-bagikannya hartanya itu ke kanan dan ke kirinya, ke muka dan ke belakang (kepada orang-orang di sekitarnya), dan dia beramal kebajikan dengan hartanya itu." Kami terus juga berjalan, hingga tiba-tiba Rasulullah saw. bersabda kepada ku, "Duduklah kamu di sini sampai aku kembali!" Beliau menyuruh ku duduk di suatu tempat berbatu-batu. Lalu beliau pergi melalui tempat berbatu-batu hitam, sehingga beliau hilang dari penglihatan ku. Setelah beberapa lama aku menunggu, ku dengar beliau datang sambil berujar. "Sekalipun dia mencuri dan berzina." Setelah beliau sampai ke dekat ku, aku tidak sabar lagi, lalu ku tanyakan, "Ya, Nabi Allah! Semoga diri ku jadi tebusan anda. Siapakah yang bercakap-cakap dengan anda di tempat berbatu-batu itu? Kerana aku mendengar seseorang mengatakan sesuatu kepada anda." Jawab beliau, "Dia Jibril! Dia datang kepada ku di tanah berbatu-batu hitam, lalu katanya: Gembirakanlah umat anda, bahawa siapa yang meninggal tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu, nescaya dia masuk syurga." Lalu aku bertanya kepadanya, "Sekalipun dia mencuri dan berzina?" Jawab Jibril, "Ya, benar" Tanya ku, "Sekalipun dia mencuri dan berzina?" Jawab Jibril, "Ya, benar! Bahkan sekalipun dia minum khamar." |