Hadis Sahih Muslim No. 0945 Jilid 2 Topik adalah Zakat 945. Dari Abu Dzar r.a. katanya: "Pada suatu senja, aku berjalan beserta Rasulullah saw. di tanah berbatu-batu hitam sambil kami memandang ke bukit Uhud. Tiba-tiba Rasulullah saw. memanggil ku, "Hai, Abu Dzar!" Jawab ku, "Hamba, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Seandainya bukit Uhud itu menjadi emas bagi ku, maka hal itu tidaklah akan menggembirakan ku, jika hari ketiga emas itu masih ada di tangan ku satu dinar, di samping satu dinar yang ku sediakan untuk membayar hutang. Tetapi akan ku panggil para hamba Allah, lalu ku katakan kepada mereka: Ini! sambil beliau meraih ke depan, ke kanan dan ke kiri, seolah-olah beliau sedang membahagi-bahagi. Sementara itu kami masih terus juga berjalan, lalu beliau memanggil ku pula, "Hai, Abu Dzar!" "Hamba, ya Rasulullah!" ujarku. Sabda beliau. "Orang-orang kaya yang menumpuk-numpuk harta, pada hari kiamat kelak mereka miskin. Melainkan orang-orang yang berkata: Ini! Ini! Ini! (membahagi-bahagikan hartanya) seperti yang dilakukan Nabi saw. mula-mula. Kata Abu Dzar selanjutnya, "Sementara itu kami terus juga berjalan. Dan tiba-tiba beliau memanggil ku pula: "Hai, Abu Dzar! Tetaplah engkau di sini sampai aku kembali!" Lalu beliau pergi, sehingga hilang dari penglihatan ku. Tidak lama kemudian terdengar olehku suara gaduh. "Mungkin Rasulullah saw. mendapat kesulitan," fikir ku. Dan aku bermaksud hendak menyusul beliau. Tetapi aku ingat perintah beliau, jangan ke mana-mana sampai aku kembali. Kerana itu ku tunggu saja beliau. Ketika beliau tiba, ku ceritakan kepada beliau suara gaduh yang kedengaran olehku. Kata beliau, "Itu adalah Jibril. Dia datang kepada ku." Kata Jibril, "Siapa saja di antara umatmu yang mati dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, nescaya dia masuk syurga." Nabi saw. bertanya, "Sekalipun dia berzina dan mencuri?" Jawab Jibril, "Ya, sekalipun dia berzina dan mencuri!" |