Hadis Sahih Muslim No. 0861 Jilid 2 Topik adalah Solat 861. Dari Asma' r.a., katanya: "Pada masa (hidup) Rasulullah saw. pernah terjadi gerhana matahari. Lalu aku pergi menemui 'Aisyah, dan ku dapati dia sedang solat. Aku bertanya kepadanya, "Kenapa orang banyak pada solat?" Dia memberi isyarat kepada ku dengan kepalanya ke langit. Tanya ku, "Ayat? (tanda kebesaran Allah?)" Jawab 'Aisyah, "Ya, tanda kebesaran Allah." Rasulullah saw. lama sekali berdiri (dalam solat), sehingga aku pusing. Lalu ku ambil air satu qirbah dan ku bawa ke dekatku. Kemudian ku basahi kepala dan muka ku. Kata Asma' selanjutnya, "Ketika Rasulullah saw. telah selesai solat, dan matahari telah terang kembali, beliau berkhutbah di hadapan orang banyak. Mula-mula beliau memuji dan menyanjung Allah. Sesudah itu beliau bersabda, antara lain: Tidak satu pun sesuatu yang belum pernah ku lihat, melainkan telah ku saksikan dalam solat ku sebentar ini, sampai-sampai syurga dan neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepada ku, bahawa kamu segera akan ditanyai dalam kubur, atau seperti fitnah (bencana) Dajjal. Masing-masing kamu akan didatangi lalu ditanya: "Apa pengetahuanmu tentang orang (Muhammad) ini?" Adapun orang-orang yang beriman dan meyakini, akan menjawab, "Dia adalah Muhammad, Rasulullah. Dia datang kepada kami membawa keterangan-keterangan dan petunjuk, lalu kami terima dan kami patuhi." Pertanyaan itu berulang-ulang sampai tiga kali. Sesudah itu dia disuruh tidur. Katanya, "Kami sudah tahu bahawa kamu betul beriman dengannya. Kerana itu tidurlah dengan nyenyak." Adapun orang-orang yang munafik dan orang-orang yang ragu dalam kepercayaannya, maka jawabnya, "Aku tidak tahu apa-apa. Ku dengar orang banyak mengatakan begini dan begitu, lalu ku ucapkan pula." |