Hadis Sahih Muslim No. 0860 Jilid 2 Topik adalah Solat 860. Dan Jabir r.a.. katanya: "Di masa hidup Rasulullah saw., bertepatan dengan had wafatnya Ibrahim, putera Rasulullah saw., telah terjadi gerhana matahari. Kerana itu ada orang yang berkata, bahawa gerhana itu terjadi kerana wafatnya Ibrahim, putera Rasulullah itu. Rasulullah berdiri, lalu beliau solat dengan orang banyak enam kali rukuk dan empat kali sujud. Mula-mula beliau takbir, kemudian membaca ayat dan memanjangkan bacaannya itu. Kemudian beliau rukuk, lamanya kira-kira selama beliau berdiri itu. Kemudian beliau mengangkat kepala dari rukuk (i'tidal), lalu dia membaca ayat, tetapi tidak sepanjang yang pertama. Kemudian beliau rukuk, lamanya kira-kira selama beliau berdiri. Kemudian i'tidal, lalu membaca ayat, tetapi panjangnya tidak sepanjang yang kedua. Kemudian beliau rukuk, lamanya lebih kurang selama ia berdiri. Kemudian beliau mengangkat kepala dari rukuk, sesudah itu langsung turun untuk sujud, dan beliau sujud du kali. Kemudian beliau berdiri, dan sesudah itu rukuk pula tiga kali; dan bacaannya setiap rakaat, yang dahulu lebih panjang daripada yang sesudahnya. Begitu pula lama rukuk hampir sama dengan lamanya sujud. Kemudian beliau mundur, maka mundur pula seluruh shaf di belakang beliau, hingga sampai ke dekat shaf kaum wanita. Kemudian beliau maju. maka maju pula seluruh jemaah mengikuti beliau, hingga sampai ke tempatnya semula. Sesudah itu solat gerhana selesai, dan matahari telah terang kembali. Di dalam khutbahnya antara lain beliau bersabda: "Hai manusia! Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua bukti diantara sekian banyak bukti kebesaran Allah. Dan keduanya tidak gerhana sebab kematian seorang manusia. Kerana itu apabila kamu melihat gerhana itu, maka solatlah sehingga cuaca terang kembali. Segala yang dijanjikan Allah diperlihatkan-Nya kepada ku dalam solat ku sebentar ini. Diperlihatkannya kepada ku neraka; iaitu ketika kamu lihat aku mundur, kerana aku takut akan terkena jilatannya, sehingga tampak olehku di dalamnya si pengait mengait mangsanya ke dalam neraka, kerana dia mencuri orang haji dengan kaitannya. Jika ditanya orang kepadanya kenapa kamu mencuri? Jawabnya, Aku tak sengaja, kerana hanya menyangkut pada kaitanku. Tetapi jika orang lalai, dia kait (copet) lagi. Ku lihat juga di neraka itu seorang wanita pemilik kucing. Dia mengikat kucing itu, tetapi tidak diberinya makan dan dia tidak pula melepaskannya, supaya kucing itu dapat mencari makannya sendiri seperti rumput-rumput bumi, sehingga akhirnya kucing itu mati kelaparan. Kemudian diperlihatkan pula kepada ku syurga; iaitu ketika kamu melihat ku maju, sehingga aku berdiri di tempatku ini. Ku jangkaukan tangan ku untuk memetik buah-buahannya, supaya kamu semua dapat melihatnya. Tapi ternyata aku tak dapat melakukannya. Tidak ada sesuatu yang telah dijanjikan Allah, melainkan ku lihat nyata dalam solat ku ini." |