Hadis Sahih Muslim No. 0856 Jilid 2 Topik adalah Solat 856. Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Telah terjadi suatu gerhana matahari pada masa hidup Rasulullah saw., lalu beliau pergi ke masjid. Di sana beliau berdiri dan takbir (melakukan solat gerhana). Sedangkan orang banyak berbaris di belakang beliau. Rasulullah saw. membaca bacaan (surah) yang panjang. Kemudian beliau takbir dan rukuk lama-lama. Kemudian beliau mengangkat kepala (i'tidal) sambil membaca 'Sami'allahu liman hamidah, Rabbana walakal hamdu..' Lalu beliau berdiri, dan sesudah itu membaca ayat yang panjang-panjang, tetapi tidak sepanjang bacaan yang pertama. Kemudian beliau rukuk pula kembali lama-lama, tetapi tidak selama yang pertama. Kemudian beliau i'tidal sambil membaca "Sami'allahu liman hamidah. Rabbana walakal hamdu," sesudah itu beliau langsung sujud. Kemudian pada rakaat yang lain beliau lakukan pula seperti itu, sehingga jumlahnya empat kali rukuk dan empat kali sujud. Dan matahari telah terang kembali sebelum beliau selesai solat. Kemudian beliau berdiri dan berkhutbah di hadapan orang banyak. Mula-mula beliau memuji Allah menurut mestinya. Sesudah itu beliau bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua bukti di antara sekian banyak bukti tentang kebesaran Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Kerana itu apabila kamu melihatnya gerhana, maka segeralah pergi solat. Solatlah sehingga Allah memberi kelapangan (cahaya terang) kembali kepada mu. Sabda beliau selanjutnya, "Aku telah melihat di tempatku ini segala yang dijanjikan Allah kepada mu (mengenai syurga dan neraka). Sehingga aku bermaksud hendak memetik buah-buahan syurga; ketika kamu lihat aku menjangkaukan tangan ke depan. Aku juga melihat neraka jahanam, di mana satu sama lain saling memusnahkan, iaitu ketika kamu lihat aku mundur ke belakang. Dan aku melihat juga di neraka itu Ibnu Luhay, yakni orang yang mula-mula mengadakan Sa-ibah (korban unta untuk berhala). |