Hadis Sahih Muslim No. 0855 Jilid 2 Topik adalah Solat 855. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu hari di masa Rasulullah saw. masih hidup, terjadi gerhana matahari. Kerana itu beliau berdiri mengerjakan solat (gerhana) dan berdirinya itu sangat lama. Kemudian beliau rukuk, dan rukuknya itu sangat lama. Kemudian beliau mengangkat kepala (i'tidal) dan i'tidalnya itU sangat lama pula, tetapi tidak selama berdirinya yang pertama. Kemudian rukuk pula lama-lama, tetapi tidak selama yang pertama. Kemudian beliau sujud, dan sesudahnya langsung berdiri kembali lama-lama, tetapi tidak selama berdirinya yang pertama. Kemudian beliau rukuk pula lama-lama tetapi tidak selama rukuk yang pertama. Kemudian beliau mengangkat kepala (i'tidal) dan sesudah itu berdiri pula lama-lama, tetapi tidak selama berdirinya yang pertama. Kemudian beliau sujud, dan sesudah itu selesai. Sedangkan matahari telah terang kembali. Lalu beliau berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula beliau memuji dan menyanjung Allah swt., dan sesudah itu beliau bersabda, antara lain sabdanya: "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah suatu bukti di antara sekian banyak bukti kebesaran Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Kerana itu jika kamu melihat gerhana matahari dan bulan, takbir dan mendoalah kepada Allah swt., solat dan bersedekahlah kamu banyak-banyak. "Hai, umat Muhammad! Tidak seorang pun yang sangat benci kepada perzinaan selain daripada Allah. (Kerana itu hindarilah!) Hai, umat Muhammad! Kalaulah kamu tahu apa yang ku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis, dan sedikit tertawa. Camkanlah! Bukankah telah kusampaikan." |