Hadis Sahih Bukhari No. 0765 Jilid 2 Topik adalah Zakat 765. Dari Abu Humaid As Sa'idi r.a., katanya dia pernah ikut berperang bersama-sama dengan Nabi saw. dalam peperangan Tabuk. Ketika tiba di Wadi-al-Qura, ada seorang wanita sedang berada di dalam kebunnya. Rasulullah saw. menanyakan kepada para sahabat berapa kira-kira taksiran mereka terhadap buah-buahan di dalam kebun itu. Dan beliau sendiri menaksirnya kira-kira sepuluh wasq. Nabi saw. bersabda kepada wanita itu, "Hitunglah berapa kira-kira hasil kebunmu, dan berapa zakat yang harus kamu bayarkan!" Setelah kami sampai di Tabuk, Nabi saw. bersabda, "Malam ini akan bertiup angin kencang. kerana itu janganlah ada seorang jua pun yang berdiri, dan siapa yang mempunyai unta, tambatkanlah untanya." Lalu kami tambatkan unta kami. Tidak lama antaranya angin kencang pun bertiuplah. Seorang laki-laki berdiri, lalu diterbangkannya sampai ke bukit Thai. Ketika itu ada pula seorang raja Ailah menyerahkan seekor keldai putih kepada Nabi saw., dan keldai itu diberinya pakaian dengan kain bulu dan dia menulis surat kepada Nabi saw. yang menyatakan bahawa dia dan rakyatnya menyerah kepada Nabi saw. dan bersedia membayar Jizyah (ufti). Ketika Nabi tiba kembali di Wadi al-Qura, beliau bertanya kepada wanita pemilik kebun, "Berapa jumlah hasil kebunmu?" Jawabnya, "Sepuluh wasq, sebanyak taksiran Nabi saw." Sabda Nabi, "Aku akan segera kembali ke Madinah. Siapa yang ingin berangkat bersama-sama dengan ku, bersiap-siaplah dengan segera." Ibnu Bakkar (sub perawi) menambahkan, ketika Nabi saw. telah dekat ke Madinah, beliau bersabda, "Inilah kota yang baik. (Thaabah)." Dan ketika beliau melihat bukit Uhud, beliau bersabda, "Itulah bukit kecil yang sentiasa mencinta kita dan kita mencintainya pula. Mahukah anda sekalian, aku ceritakan kepada kamu, perkampungan Ansar yang paling baik?" Jawab para sahabat, "Ya, sudah tentu!" Sabda beliau, "Ialah perkampungan Bani Najjar, kemudian perkampungan Bani Asyhal, kemudian perkampungan Bani Saaidah atau perkampungan Bani al Harits bin Al Khazraj dan setiap perkampungan Ansar baik." |