Hadis Sahih Bukhari No. 0749 Jilid 2 Topik adalah Zakat 749, Dari Anas r.a., katanya Abu Sakar, memerintahkannya pergi ke Bahrain (untuk mengumpulkan zakat).Beliau menulis surat untuk menyusul keberangkatan nya itu, sebagai berikut: "Bismillahirrahmanirrahim. Inilah perintah zakat yang diwajibkan Rasulullah kepada seluruh umat Islam sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah kepada Rasul-Nya itu. kerana itu, siapa saja di antara kaum Muslimin yang diminta zakatnya sesuai dengan ketentuannya, hendaklah diberikannya, dan siapa yang diminta lebih dari mestinya, janganlah diberikannya. Dari lima sampai dua puluh empat ekor unta, zakatnya seekor Syaatun (biri-biri) untuk setiap lima unta. Dua puluh lima sampai dengan tiga puluh lima ekor, zakatnya seekor Bintu Makhadh. Dari tiga puluh enam sampai dengan empat puluh lima ekor unta, zakatnya seekor Bintu Labun. Dan empat puluh enam sampai dengan enam puluh ekor unta, zakatnya seekor Hiqqah Tharuqatul Jamal. Dan enam puluh satu sampai dengan tujuh puluh lima ekor unta, zakatnya seekor Jaz'ah. Dari tujuh puluh enam sampai sembilan puluh ekor, zakatnya dua ekor Bintu Labun. Dan sembilan puluh satu sampai dengan seratus dua puluh ekor, zakatnya dua ekor hiqqah tharuqatul jamal. Dan seratus dua puluh sampai seterusnya, tiap-tiap empat puluh ekor, zakatnya seekor Bintu Labun. Dan tiap-tiap lima puluh ekor, zakatnya seekor Hiqqah. Siapa yang mempunyai empat ekor unta, ia tidak wajib zakat kecuali kalau ia suka mengelurkannya. Tetapi apabila ia mempunyai lima ekor, ia wajib zakat seekor biri-biri. Zakat ghanam (kambing/biri-biri) ialah ghanam yang lepas. Mulai dari empat puluh sampai dengan seratus dua puluh ekor, zakatnya seekor Syaatun. Dari seratus dua puluh sampai dengan dua ratus, dua ekor Syaatun. Dari dua ratus sampai dengan tiga ratus, zakatnya tiga ekor Syaatun. Dari tiga ratus sampai seterusnya, tiap-tiap seratus, zakatnya seekor Syaatun. Dan siapa yang mempunyai ghanam kurang dari empat puluh ekor, biarpun hanya kurang seekor, tidak wajib zakat baginya, kecuali kalau ia suka membayarnya. Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu. Tetapi kalau harganya cuma seratus sembilan puluh, tidak wajib zakatnya, kecuali kalau yang punya ingin mengeluarkannya. |