Hadis Sahih Bukhari No. 0700 Jilid 2 Topik adalah Jenazah 700, Dari Said bin Musayyab r.a., katanya: "Ketika Abu Thalib telah hampir meninggal, Nabi saw. datang mengunjunginya. Nabi mendapati di situ telah berada Abu Jahil bin Hisyam dan Abdullah bin Umayyah. Rasulullah saw. bersabda kepada Abu Thalib, "Wahai, pakcik! Ucapkanlah: Laa Ilaaha illallaah (tidak ada Tuhan selain Allah), iaitu sebuah kalimat yang aku akan menjadi saksi bagi pakcik di sisi Allah." Kata Abu Jahil dan Abdullah bin Umayyah, "Hai, Abu Thalib! Apakah engkau membenci agama Abdul Muththalib?" Rasulullah saw. sentiasa memajukan permintaannya kepada pakciknya, tetapi kedua orang itu pun selalu pula mengulang-ulang ucapannya. Sehingga akhirnya Abu Thalib mengucapkan perkataannya yang penghabisan, bahawa ia tetap memeluk agama Abdul Muththalib (ayahnya). Dia enggan hendak mengucapkan Laa Ilaaha illallaah. Maka bersabda Rasulullah saw., "Demi Allah! Aku selalu akan memohonkan ampun bagi pakcik, selama aku tidak dilarang untuk itu." Kemudian Allah menurunkan ayat: "Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatnya, sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahannam." (At Taubah, 9 : 113) |