Hadis Sahih Muslim No. 0642 Jilid 2 Topik adalah Solat 642. Dari 'Imran bin Hushain r.a., katanya: "Aku pernah berjalan sepanjang malam bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan. Ketika hari hampir Subuh, kami berhenti, lalu kami tertidur hingga matahari terbit. Yang mula-mula terbangun ialah Abu Bakar. Dan kami tidak berani membangunkan Nabi saw.dari tidurnya, sehingga beliau bangun sendiri. Kemudian bangun pula 'Umar, lalu dia berdiri dekat Nabi saw. dan takbir keras-keras, sehingga Rasulullah saw. terbangun kerananya. Ketika beliau mengangkat kepala, dilihatnya matahari sudah terbit. Beliau bersabda, "Ayuh, berangkat!" Kami meneruskan perjalanan, sehingga apabila matahari telah tinggi, Rasulullah saw. berhenti, kemudian solat Subuh bersama-sama kami. Kecuali seorang lelaki, dia tidak ikut solat dan memencilkan diri dari kami. Setelah selesai solat Rasulullah saw. bertanya kepadanya, "Hai, Fulan! Apa sebab engkau tidak ikut solat bersama-sama kami?" Jawabnya, "Aku junub, ya, Nabiyallah." Lalu Nabi saw. menyuruhnya tayammum dengan tanah, dan sesudah itu dia solat. Kemudian, setelah kami meneruskan perjalanan kami kembali, Rasulullah saw. menyuruh ku berjalan lebih dahulu untuk mencari air kerana kami telah kehausan. Tiba-tiba kami bertemu dengan seorang wanita menjuntaikan kakinya antara dua buah mazadah (tempat air atau qirbah besar). Lalu kami bertanya kepadanya, "Di mana kami bisa mendapatkan air?" Jawab wanita itu, "Jauh, jauh sekali. Anda tidak akan dapat menemukannya." Tanya kami, "Berapa jauhnya antara kampung anda dengan tempat air itu?" Jawabnya, "Sehari semalam perjalanan." Kata kami, "Mari kita menemui Rasulullah saw." Jawabnya; "Rasulullah? Apa itu Rasulullah?" Sejak itu kami tidak membiarkannya lagi, sehingga dia kami iring sampai ke hadapan Rasulullah saw. Beliau bertanya kepadanya seperti apa yang kami tanyakan, dan dia menjawab seperti jawapannya kepada kami. Selanjutnya dia menceritakan bahawa dia mempunyai beberapa orang anak yatim yang masih kecil. Kemudian Nabi saw. menyuruh dudukkan untanya. Lalu Nabi menyedut air dari kedua qirbah itu dengan mulutnya, kemudian disemburkannya kembali. Sesudah itu unta disuruhnya berdiri. Lalu pasukan kami yang kehausan sejumlah empat puluh orang minum sepuas-puasnya. Bahkan kami mengisi semua qirbah kami, serta segala tempat air yang ada pada kami, kami isi sampai penuh. Begitu pula teman kami yang junub kami suruh mandi. Hanya kamilah yang tidak dibeli minum. Walaupun begitu, kedua tempat air wanita itu masih penuh seperti sedia kala, bahkan melebihi semula. Kemudian Nabi saw. bersabda, "Kumpulkan makanan yang ada pada kamu semuanya." Lalu kami kumpulkan sisa-sisa makanan yang ada pada kami, kemudian diserahkan Nabi saw. kepada wanita itu, seraya berkata: "Pulanglah anda! Berikan makanan ini kepada keluargamu. Dan ketahuilah, bahawa aku tidak mengurangi sedikit jua pun air yang kamu bawa." Ketika wanita itu sampai di kampungnya, dia bercerita kepada mereka peristiwa air yang dialaminya bersama Nabi saw. dan para sahabat beliau. Katanya, "Tadi aku bertemu dengan tukang sihir yang sangat pandai, atau mungkin sesungguhnya dia itu Nabi sebagaimana dia katakan." Setelah itu penduduk kampung itu masuk Islam semuanya, termasuk wanita itu, oleh petunjuk dari Allah berkat peristiwa yang dialami wanita tersebut." |