Hadis Sahih Muslim No. 0641 Jilid 2 Topik adalah Solat 641. Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Rasulullah saw. berpidato di hadapan kami. Antara lain beliau bersabda: Kamu akan berjalan sejak petang dan sepanjang malam. Insya Allah baru akan bertemu air esok." Pasukan terus berjalan tanpa menoleh satu sama lain. Kata AbU Qatadah, "Ketika hari sudah larut malam, aku berada di samping beliau - Rasulullah saw. mengantuk, sehingga duduknya di atas kenderaan jadi miring. Aku mendekati beliau, dan menopang beliau tanpa membangunkannya, sehingga duduk beliau di atas kenderaan lurus kembali. Kemudian beliau miring pula kembali, lalu ku luruskan pula. Demikianlah ku lakukan sepanjang jalan pada malam itu, sehingga akhirnya ketika waktu sahur tiba, beliau sangat miring dari sebelumnya dan hampir jatuh. Aku mendekati beliau dan menopangnya. Beliau terbangun dan mengangkat kepalanya seraya berkata, "Siapa ini!" Jawab ku, "Abu Qatadah!" Tanya beliau, "Sejak bila engkau berjalan seperti ini di sampingku?" Jawab ku, "Sudah sejak sepanjang malam." Kata beliau, "Semoga Allah selalu menjagamu kerana kamu telah menjaga Nabi-Nya. Apakah kita telah ketinggalan? Masih adakah orang sekitar kita?" Jawab ku, "Ini ada beberapa orang pengendara." Ternyata kami semua ada tujuh orang. Tiba-tiba Rasulullah saw. menyimpang dari jalan, lalu merebahkan diri seraya bersabda: "Jaga waktu solat!" Yang mula-mula terbangun ialah Rasulullah saw., iaitu ketika sinar matahari telah mengenai punggungnya. Kami pun bangun dengan terkejut. Beliau bersabda, "Mari berangkat!" Kami berangkat dan terus berjalan. Ketika matahari telah agak meninggi, beliau berhenti dan meminta air yang ku bawa untuk berwuduk. Beliau berwuduk tidak seperti biasanya, tetapi agak ringan, namun melengkapi semua anggota wuduk. Setelah beliau berwuduk, air masih bersisa di timba sedikit. Sabda beliau, "Simpan air ini baik-baik, nanti akan ada gunanya bagi kita." Kemudian Bilal azan. Sesudah itu Rasulullah saw. solat dua rakaat (sunat fajar), kemudian solat Subuh, seperti yang biasa dilakukan beliau setiap hari. Kata Abu Qatadah, "Sesudah solat, Rasulullah saw. mengenderai kenderaannya. Kami meneruskan perjalanan sambil berbisik-bisik satu sama lain, apakah kiranya tebusan perbuatan kita kerana kita telah mensia-siakan solat?" Sabda Rasulullah saw. "Bukankah peristiwa itu suatu contoh bagimu? Ketahuilah, bahawa kerana ketiduran tidak bererti mensia-siakan solat. Yang termasuk mensia-siakan solat ialah orang yang tidak solat sehingga datang waktu solat yang berikutnya. Sedangkan orang yang ketiduran, hendaklah dia solat bila dia terbangun. Selanjutnya, hendaklah dia solat tepat pada waktunya." Kemudian beliau bertanya, "Bagaimana pendapat anda tentang orang-orang yang telah dahulu dari kita? Mereka berjalan lebih dahulu tanpa Nabi mereka. Abu Bakar dan 'Umar menduga bahawa kita berada di belakang mereka. Tetapi yang lain-lain berkata, beliau telah dahulu- Kalaulah mereka mengikuti Abu Bakar dan 'Umar, tentulah mereka benar. Kata Abu Qatadah, "Kami dapat menyusul mereka ketika hari telah tinggi dan panas telah terik." Kata mereka, "Ya, Rasulullah! Celaka kami-kami kehausan!" Jawab Rasulullah saw., "Tidak! Kalian tidak akan celaka." Kemudian beliau meminta gelas dan bejana wuduknya yang berisi sisa air wuduk beliau tadi, lalu beliau tuang ke dalam gelas. Sedangkan Abu Qatadah membagi-bagikannya kepada mereka. Kerana air yang tersedia dalam bejana hanya sedikit, mereka berebut-rebutan. Maka bersabda Rasulullah saw., "Jangan berebut! Setiap kamu akan dapat minum sepuas-puasnya." Mereka patuh akan perintah Nabi saw. tersebut. Beliau terus menuangkan air ke gelas sedangkan aku membagi-bagikannya kepada mereka, sehingga akhirnya tidak ada lagi yang ketinggalan selain aku dan Rasulullah saw. Rasulullah saw. menuangkannya pula dan berkata kepada ku, "Sekarang giliran kamu yang minum." Jawab ku, "Aku tidak akan minum sebelum Rasulullah saw. minum." Sabda beliau. "Si pemberi minum orang banyak harusnya minum penghabisan kali." Kerana itu aku minum lebih dahulu dan sesudah itu barulah Rasulullah saw. Dengan sisa air wuduk yang sedikit itu, seluruh pasukan jadi segar dan puas." |