Hadis Sahih Muslim No. 0640 Jilid 2 Topik adalah Solat 640. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. kembali dari perang Khaibar, beliau berjalan tengah malam, sehingga beliau mengantuk, lalu beliau berhenti dan rehat untuk tidur. Beliau bersabda kepada Bilal, "Bangunkan kami bila waktu Subuh tiba." Sementara itu Bilal solat seberapa dapat dilakukannya, sedangkan Nabi saw. dan sahabat-sahabat yang lain tidur. Ketika fajar hampir terbit, Bilal bersandar ke kenderaannya menunggu fajar terbit. Tetapi dia sangat mengantuk dan tertidur ketika sedang bersandar itu, sehingga dia tidak dapat membangunkan Rasulullah saw. dan para sahabat yang lain, sampai sinar matahari mengenai mereka. Yang mula-mula terbangun ialah Rasulullah saw. Ketika beliau terbangun, beliau bertanya, "Mana Bilal?" Jawab Bilal, "Demi Allah! Aku tertidur, ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw., "Bersiaplah semua!" Lalu mereka siapkan kenderaan mereka. Kemudian Rasulullah saw. mengambil wuduk dan menyuruh Bilal qamat. Setelah Bilal qamat, Nabi saw. mengimami mereka solat Subuh. Setelah selesai solat, beliau bersabda: "Siapa yang lupa solat, maka hendaklah dia solat apabila ingat. Sesunguhnya Allah berfirman: "Tegakkanlah solat untuk mengingat-Ku." |