Hadis Sahih Muslim No. 0571 Jilid 1 Topik adalah Solat 571. Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, dari Nabi saw., bahawa seorang lelaki bertanya kepada beliau tentang waktu-waktu solat. Sabda Rasulullah saw., "Solatlah bersama-sama dengan kami dua hari ini." Maka ketika matahari telah gelincir, beliau menyuruh Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Asar, sedangkan matahari masih tinggi dan cahayanya masih terang. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Maghrib, iaitu ketika matahari telah terbenam. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Isyak, iaitu ketika mega merah telah hilang. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Subuh, iaitu ketika terbit fajar. Pada hari kedua disuruhnya pula Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor agak terlewat dari kelmarin, iaitu sehingga hawa panas telah agak reda. Setelah panas reda, barulah beliau solat. Kemudian beliau solat Asar ketika matahari masih tinggi, tetapi agak terlambat dari kelmarin. Dan beliau solat Maghrib sebelum hilang mega merah. Solat Isyak setelah lewat sepertiga malam. Solat Subuh setelah langit agak bercahaya. Kemudian beliau bertanya, "Kemanakah orang yang bertanya tentang waktu solat?" Seorang lelaki menjawab, "Aku, ya, Rasulullah!" Sabda beliau, "Waktu waktu solat ialah seperti yang telah anda saksikan itu." |