Hadis Sahih Muslim No. 0475 Jilid 1 Topik adalah Solat 475. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. baru tiba di Madinah, mula-mula beliau berhenti di bahagian atas, iaitu di perkampungan Bani 'Amr bin 'Auf. Beliau tinggal di sana selama empat belas malam. Kemudian beliau mengirim utusan kepada pemimpin-pemimpin Bani Najjar meminta mereka datang, lalu mereka datang dengan menyandang pedang. Kata Anas, "Seolah-olah masih terlihat olehku Rasulullah saw. di atas kenderaan beliau didampingi Abu Bakar, sedang para pemimpin Bani Najjar mengelilinginya di halaman Abu Ayyub." "Pada masa itu Rasulullah saw. solat kerana waktu solat telah tiba, dan beliau solat di kandang kambing. Kemudian beliau memerintahkan membangun masjid untuk itulah beliau mengundang para pemimpin Bani Najjar, sehingga mereka datang. Sabda Rasulullah saw., "Hai, Bani Najjar! Juallah kepada ku kebun anda ini!" Jawab mereka, "Tidak! Demi Allah! Kami tidak akan meminta harga ganti rugi, melainkan hanya kepada Allah." Kata Anas di kebun itu ada pohon-pohon kurma, kuburan orang-orang musyrik, dan runtuhan bangunan-bangunan. Kerana itu Rasulullah memerintahkan supaya menebang pohon-pohon kurma, membongkar kuburan, dan meratakan runtuhan bangunan-bangunan itu. Sesudah itu mereka susun pahon-pohon kurma (menjadi bangunan) menurut arah kiblat, dan pintunya dibuat dari batu." Kata Anas selanjutnya, "Sambil bekerja mereka menyanyikan lagu-lagu antara lain: "Wahai Allah! Tidak ada kebaikan, melainkan kebaikan di akhirat. Kerana itu tolonglah kaum Ansar dan kaum Muhajirin." |