Hadis Sahih Bukhari No. 0399 Jilid 1 Topik adalah Solat 399, Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. bertambah sakit, Bilal datang kepada beliau memberitahukan bahawa waktu solat telah tiba. Maka sabda beliau, "Suruhlah Abu Bakar menjadi imam solat bagi orang banyak. " Aku (' Aisyah) berkata kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar seorang penyedih. Kalaulah dia yang menggantikan Tuan menjadi Imam, dia tidak akan kedengaran oleh orang banyak. Kenapa Tuan tidak menyuruh Umar saja?" Sabda beliau, "Suruhlah Abu Bakar supaya dia menjadi imam bagi orang banyak. " Kemudian ku katakan kepada Hafsah agar dia mengatakan kepada beliau: "Sesungguhnya Abu Bakar seorang penyedih. Kalau dia yang menjadi imam menggantikan Rasulullah, dia tidak akan kedengaran oleh orang banyak. Kenapa Tuan tidak menyuruh Umar saja." Jawab beliau, "Sesungguhnya kamu (para wanita) sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar menjadi imam solat bagi orang banyak. " Abu Bakar tampil menjadi imam. Sementara itu Rasulullah saw. merasakan badannya agak ringan. Beliau pergi ke masjid dipapah dua orang laki-laki, sedangkan kedua kaki beliau terjuntai ke lantai hingga sampai ke masjid. Ketika Abu Bakar mendengar bahawa Rasulullah saw. datang, dia mencuba hendak mundur ke belakang. Tetapi Rasulullah mengisyaratkan kepadanya supaya ia tetap di tempatnya, dan Nabi saw. duduk di sebelah kirinya. Abu Bakar solat dengan berdiri, sedang Rasulullah saw. solat sambil duduk. Abu Bakar mengikutkan solat Rasulullah saw., dan orang banyak mengikutkan Abu Bakar r.a." |