Hadis Sahih Bukhari No. 0387 Jilid 1 Topik adalah Solat 387, Cerita dari Sahl bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Bahawa Rasulullah saw. pergi kepada Bani 'Amr bin 'Auf untuk memperdamaikan mereka. Ketika waktu solat tiba, muadzin datang kepada Abu Bakar dan berkata: "Mahukah anda menjadi imam solat bagi orang banyak? Saya akan membaca qamat untuk itu." Jawab Abu Bakar, "Baiklah." Maka solatlah Abu Bakar. Rasulullah pun datang ketika orang banyak sedang solat, dan beliau terus masuk ke dalam saf pertama. Orang banyak menepukkan tangan mereka. Tetapi Abu Bakar tidak menoleh dalam solatnya. Ketika tepukan tangan tambah banyak , dia pun menoleh, dan melihat Rasulullah saw. Nabi memberi isyarat kepadanya supaya dia tetap di tempatnya. Abu Bakar mengangkat tangannya dan memuji Allah sehubungan dengan perintah Rasulullah saw. itu. Setelah itu Abu Bakar undur ke dalam saf pertama dan Rasulullah saw. maju ke depan menjadi imam solat. Ketika telah selesai solat, Rasulullah saw. bertanya. "Hai, Abu Bakar! Kenapa anda enggan tetap di tempatmu semula, padahal telah ku suruh?" Jawab Abu Bakar, "Tidak patut rasanya bagi anak Abi Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah." Maka bersabda Rasulullah saw. (kepada jemaah), "Mengapa tadi kamu banyak yang bertepuk tangan? Barangsiapa yang merasa ada apa-apa ketika solat, maka hendaklah dia tasbih (membaca subhanallah). kerana apabila dia tasbih, nescaya orang akan menoleh kepadanya. Dan isyarat dengan tepuk tangan adalah untuk wanita. " |