Hadis Sahih Muslim No. 0372 Jilid 1 Topik adalah Solat 372. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika sakit Rasulullah saw. bertambah berat, Bilal datang seperti biasa memberitahukan waktu solat telah tiba. Lalu beliau bersabda, "Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjemaah dengan orang ramai." "Ya, Rasulullah!" Kata 'Aisyah, "Abu Bakar itu seorang lelaki penyedih. Kalau dia yang menggantikan anda menjadi imam suaranya tidak kedengaran oleh orang ramai. Bagaimana kalau 'Umar saja yang disuruh'?" Sabda Rasulullah saw., "Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjemaah dengan orang ramai!" Kata 'Aisyah selanjutnya, "Lalu hal itu ku katakan kepada Hafshah, supaya dia menyampaikan kepada Nabi saw. bahawa Abu Bakar seorang penyedih. Kalau dia yang disuruh menjadi imam menggantikan Nabi, suaranya tidak kedengaran oleh orang ramai. Kerana itu alangkah baiknya kalau 'Umar yang disuruh." Lalu Hafshah mengatakannya kepada Nabi saw. Sabda Rasulullah saw., "Anda semua termasuk kelompok Yusuf. Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjemaah dengan orang ramai." Kerana itu, akhirnya Abu Bakarlah yang menjadi imam. Pada suatu ketika, sewaktu Abu Bakar sedang mengimami solat berjemaah dengan orang ramai, kebetulan Rasulullah saw. merasa sakitnya agak ringan. Lalu beliau pergi solat berjemaah di papah dua orang lelaki, dan kedua kaki beliau terjulai ke tanah. Sesampainya di masjid, Abu Bakar mendengar desah nafas beliau datang. Lalu dia berusaha hendak mundur, tetapi Rasulullah saw. memberi isyarat kepadanya supaya dia tetap di tempatnya, dan beliau didudukkan orang di sebelah kiri Abu Bakar, setentang dengannya. Kata 'Aisyah, "Ketika itu Rasulullah saw. solat berjemaah mengimami orang ramai sambil duduk, sedangkan Abu Bakar berdiri. Abu Bakar mengikut kepada Nabi saw., sedangkan jemaah yang banyak mengikuti Abu Bakar." |