Hadis Sahih Muslim No. 0360 Jilid 1 Topik adalah Solat 360. Dari Hiththan bin Abdullah Al Raqayi La., katanya: "Pada suatu ketika, aku solat bersama Abu Musa Al Asy'ari. Ketika solat telah sampai kepada duduk (tasyahhud), seorang lelaki yang ikut berjemaah membaca 'Uqirratish solatu bil birri waz zakati' (Solat digabung dengan amal-amal baik dan dengan zakat)." Setelah selesai solat, Abu Musa menghadap ke belakang lalu bertanya, "Siapakah yang membaca kata-kata itu tadi?" Jemaah diam saja. Abu Musa bertanya kembali, "Siapakah di antara kamu yang membaca kata-kata itu tadi?" Jemaah diam juga. Lalu Abu Musa berkata. "Engkau barangkali, ya Hiththan?" Jawab ku, "Tidak! Aku tidak membacanya. Aku takut kalau anda memarahi ku kerananya." Lalu seorang lelaki anggota jemaah berkata, "Akulah yang membacanya. Maksud ku hanya untuk kebaikan semata-mata." Kata Abu Musa, "Apakah kamu belum tahu bacaan-bacaan yang harus dibaca dalam solat?" Sesungguhnya Rasulullah saw. telah berkhuthbah di hadapan kami, di mana beliau menjelaskan kepada kami perihal agama kita, dan mengajarkan kepada kami tentang cara kita solat. Beliau bersabda, "Apabila kamu solat (berjemaah), buatlah shaf (barisan). Kemudian pilihlah salah seorang di antara kamu menjadi imam. Apabila imam itu takbir, maka takbir pulalah kamu semua. Dan apabila imam itu membaca 'ghairil maghdhubi 'alaihim waladh dhallin', maka bacalah bersama-sama 'Amin'." Dengan begitu kamu akan dikasihi Allah. Apabila imam itu takbir dan rukuk, maka hendaklah kamu takbir dan rukuk pula, dan seharusnya lah imam itu ruku dan mengangkat kepala lebih dahulu dari kamu. Begitulah sabda Rasulullah saw. Kemudian, apabila imam membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka bacalah 'Allahumma rabbana lakal hamdu'. Pasti Allah mendengar pujianmu itu. Begitulah Allah telah berfirman melalui lidah NabiNya. Apabila imam itu takbir dan sujud, maka takbir dan sujud pulalah kamu. Sesungguhnya imam itu harus sujud dan mengangkat kepala sebelum kamu. Demikianlah Rasulullah saw. bersabda begini dan begitu. Dan ketika duduk (tasyahhud), hendaklah dibaca: "Attahiyyatuth thayyibatush shalawatu lillah. Assalamu alaika ayyuhannabiyyu wa rahmatullahi wa barakatuhu. Assalamu 'alaina wa 'ala 'ibadillahish shalihin. Asyhadu alla ilaaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu. (Segala kehormatan, kebaikan dan doa, hanya tertuju kepada Allah semata-mata. Keselamatan bagi mu wahai Nabi, beserta rahmat dan berkat dari Allah. Keselamatan atas kami dan atas para hamba yang soleh. Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu hamba dan Rasul Allah.'" |