Hadis Sahih Bukhari No. 0286 Jilid 1 Topik adalah Solat 286, Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. solat bersama kami, salah satu dari dua solat petang. (Kata Ibnu Sirin yang meriwayatkan hadis ini dari Abu Hurairah, Abu Hurairah ada menyebutkan nama solat itu, tetapi Ibnu Sirin telah lupa). Maka Nabi saw. solat bersama kami dua rakaat lalu memberi salam. Sesudah itu beliau berdiri pada sebuah kayu yang dilintangkan di masjid dan bertelekan padanya. Beliau kelihatan seperti orang sedang marah. Diletakkannya tangan kanannya di atas tangan kirinya dan dipersilangkannya jari-jari kedua tangannya, kemudian diletakkannya pipi kanan di punggung telapak tangan kiri. Orang-orang yang ingin cepat, telah keluar dari pintu masjid sambil bertanya-tanya, "Apakah solat diperpendek?" Di antara jemaah waktu itu terdapat juga Abu Bakar dan Umar. Tetapi keduanya tidak berani menanyakan hal itu kepada Nabi saw. Dari dalam jemaah itu terdapat pula seorang sahabat yang panjang kedua belah tangannya sehingga dia dipanggilkan "Dzul Yadain". Orang ini bertanya kepada Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Apakah anda lupa, ataukah memang solat dipersingkat?" Jawab Nabi, "Saya tidak lupa dan solat tidak pula dipersingkat." Lalu beliau bertanya (kepada jemaah), "Betulkah itu apa yang ditanyakan Dzul Yadain itu?" Jawab jemaah, "Betul." kerana itu Nabi saw. berdiri kembali menyempurnakan rakaat yang tinggal, kemudian beliau memberi salam. Sesudah itu beliau takbir dan sujud seperti sujudnya dalam solat atau lebih. Kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir, sesudah itu sujud pula seperti sujud solat atau lebih, kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir." Kata perawi menambahkan, boleh jadi mereka bertanya, "Adakah Nabi memberi salam sesudah itu" Katanya, Imran bin Husain "Sesudah itu, Nabi saw. memberi salam. " |