Hadis Sahih Bukhari No. 0262 Jilid 1 Topik adalah Solat 262, Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Ada seorang anak perempuan hitam, hamba sahaya kepunyaan seorang Arab yang kemudian dimerdekakannya, namun begitu masih tinggal bersama-sama dengan mereka. Sahaya itu bercerita, "Pada suatu hari anak gadis mereka keluar rumah dengan memakai selendang kulit berwarna merah. Kemudian selendangnya itu diletakkannya atau mungkin jatuh. Kebetulan seekor burung helang lalu, lalu menyambar selendang itu kerana disangkanya daging. Kemudian mereka mencari selendang tadi, tetapi tidak menemukannya. Lalu mereka menuduh anak perempuan hitam itu mengambilnya, dan mereka memeriksanya dengan teliti, sehingga kemaluannya pun diperiksa juga. Kata sahaya itu, Demi Allah, ketika saya berdiri bersama-sama mereka, tiba-tiba burung helang itu lalu dan menjatuhkan selendang itu kembali tepat di antara mereka. Kataku, 'Inilah yang anda semua tuduhkan kepada ku, sedangkan aku tidak bersalah apa-apa. Inilah dia! lnilah dia! Kemudian sahaya itu datang kepada Rasulullah saw. lalu dia masuk Islam. Kata ' Aisyah, "Semenjak itu ia memperoleh sebuah tempat tinggal di masjid; sering datang serta bercakap-cakap dengan ku. Setiap kali ia duduk di dekatku ia selalu berujar: "Dan hari selendang itu adalah suatu keajaiban dari Tuhan kita. "Ingatlah ! Peristiwa itu telah melepaskan aku dari belenggu kekafiran." Kata 'Aisyah pula, "Aku bertanya kepadanya: Apakah sebabnya gerangan, setiap kali anda duduk di dekatku, anda selalu berujar begitu? Maka diceritakannya kepada ku cerita Selendang Merah itu." |