Hadis Sahih Bukhari No. 0253 Jilid 1 Topik adalah Solat 253. Dari Anas r.a., katanya: "Nabi saw. datang ke Madinah dan berhenti di tempat yang tertinggi di kota, iaitu pada suatu kaum yang disebut Bani Amr bin 'Auf. Nabi menetap di situ selama empat belas malam. Kemudian Nabi saw. menyuruh seseorang memberi khabar kepada Bani Najjar dan mereka datang dengan membawa pedang. Seolah-olah tampak olehku Nabi sedang di atas kenderaannya dan Abu Bakar di belakangnya, sedang Bani Najjar mengelilinginya sehingga beliau berhenti di halaman Abi Ayyub. Nabi saw. lebih suka solat di mana saja atau apabila saja waktu solat telah tiba. Dan Nabi saw. pernah solat di kandang kambing. Kemudian beliau memerintahkan membuat masjid dan mengirim utusan kepada Bani Najjar. Kata Nabi saw. kepada mereka. "Hai, Bani Najjar! Katakanlah kepada ku berapa harga kebunmu ini?" Jawab mereka, "Demi Allah, kami tidak meminta harganya melainkan hanya kepada Allah." Kata Anas, "Di dalam kebun itu sebagaimana pernah aku katakan kepada mu terdapat kubur orang-orang musyrik, ada pula runtuhan rumah dan batang kurma. Maka Nabi saw. memerintahkan supaya membongkar kubur-kubur itu meratakan runtuhan rumah-rumah dan memotong batang kurma." Lalu mereka susun batang kurma itu ke arah kiblat masjid dan batu disusun di kiri kanan masjid. Mereka bekerja mengangkut batu, sambil melagukan syair, sedang Nabi s.a.w. bersama mereka mengucapkan: "Tidak ada kebaikan selain kebaikan akhirat. Maka ampunilah kiranya kaum Ansar dan Muhajirin." |