Hadis Sahih Bukhari No. 0248 Jilid 1 Topik adalah Solat 248. Dari Anas r.a., katanya: "Dibawa orang ke hadapan Rasulullah saw. sejumlah harta dari Bahrain. Maka Nabi memerintahkan, "Letakkan harta itu di masjid." Harta itu adalah yang paling banyak yang pernah dibawa orang ke hadapan Rasulullah saw. Kemudian Nabi saw. datang ke Masjid hendak solat, namun beliau tidak menoleh sedikit juga kepada harta yang bertompok itu. Setelah selesai solat, lalu Nabi duduk dekat harta itu. Siapa saja yang kelihatan oleh Nabi ketika itu, maka diberinya harta itu. Ketika itu Abbas r.a. datang dan berkata, "Ya, Rasulullah! Berilah aku, kerana aku telah menebus diri ku dan si Akil. " Jawab Rasulullah, "Ambillah!" Lalu Abbas mengisi kainnya sampai penuh, kemudian mengangkatnya, tetapi ia tak kuat mengangkat. Kata Abbas, "Ya, Rasulullah! Tolonglah suruh orang mengangkatkan untukku. " Jawab Nabi, "Tidak!" Kata Abbas, "Atau anda sendiri tolong mengangkatkannya kepada ku." Jawab Nabi, "Tidak!" Maka dikuranginya sebahagian harta itu, kemudian diangkatnya tetapi masih belum boleh dia mengangkatnya. Kata Abbas, "Ya, Rasulullah! Tolonglah suruh orang mengangkatkannya kepada ku. " Jawab Nabi saw., "Tidak!" Kata Abbas, "Atau anda sendiri tolong mengangkatkannya kepada ku." Jawab Nabi saw., "Tidak!" Maka dikuranginya pula sebahagian lagi, sesudah itu diangkat oleh Abbas dan diletakkannya sendiri di bahunya kemudian pergi. Rasulullah mengikuti Abbas dengan penglihatannya sampai ia hilang dari penglihatan kami. Rasulullah hairan melihat ketamakan Abbas. Ketika beliau berdiri, harta yang tinggal hanya satu dirham saja lagi." |