Hadis Sahih Bukhari No. 0218 Jilid 1 Topik adalah Solat 218. Berita dari Anas (bin Malik) mengatakan: "Ketika Rasulullah saw. memerangi negeri Khaibar, kami solat subuh di dekat sana ketika hari masih gelap. Kemudian Nabi dan Abu Thalhah menaiki untanya masing-masing, sedangkan aku membonceng di belakang Abu Thalhah. Nabiyallah saw. berjalan melalui jalan sempit menuju Khaibar, lalu lutut ku bersentuhan dengan paha Nabi saw. Beliau menyingsingkan kain sarungnya dari pahanya sehingga kelihatan olehku putih paha Nabi. Setelah masuk negeri Khaibar, Nabi mengucapkan, 'Allahu Akbar, roboh Khaibar! Sesungguhnya, apabila kami datang pada halaman suatu kaum, maka sangat buruklah pagi-pagi itu orang-orang yang diberi peringatan.' Kata-kata itu beliau ucapkan tiga kali. Kata Anas, "Maka keluarlah penduduk negeri itu ke tempat mereka bekerja. Mereka berkata, "Muhammad dan tenteranya datang!" Kami dapat menaklukkan Khaibar dengan kekerasan. Rampasan dan tawanan lalu dikumpulkan. Tiba-tiba Dihyah datang kepada Nabi saw. dan berkata, "Ya, Nabiyallah! Berilah aku seorang jariyah (sahaya perempuan) dari tawanan itu." Jawab Nabi. "Pergilah! Ambillah seorang jariyah!" Lalu Dihyah mengambil Shafiyah binti Huyai. Kemudian, seorang laki-laki datang kepada Nabi saw. mengatakan, "Ya, Nabiyallah! Kenapakah wanita itu yang Tuan berikan kepada Dihyah? Bukankah Shafiyah binti Huyai seorang wanita bangsawan suku Quraizhah dan suku Nadhir? Tidak ada yang patut memilikinya melainkan hanya Tuan sendiri." Kata "Nabi, "Panggil Dihyah dan suruh bawa wanita itu ke sini!" Dihyah datang membawa wanita itu. Setelah diperhatikan oleh Nabi saw., beliau berkata kepada Dihyah, "Ambil olehmu jariyah yang lain di antara para tawanan itu!" Shafiyah binti Huyai dimerdekakan oleh Nabi saw. dan kemudian dikahwininya. Tsabit (yang menerima hadis ini dari Anas) bertanya kepada Anas, "Hai, Abu Hamzah (Anas)! Apakah mas kahwinnya?" Jawab Anas, "Diri wanita itu sendiri; dia dimerdekakan oleh Nabi saw. lalu dikahwininya. " Di tengah perjalanan - waktu kembali ke Madinah - Ummu Sulaim (ibu Anas) mempersiapkan Shafiyah untuk perkahwinannya dengan Nabi. Tengah malam dia mengantarkan Shafiyah kepada Nabi saw. maka jadi pengantinlah Nabi ketika itu. Kata Nabi saw. kepada sahabat-sahabatnya, "Barangsiapa mempunyai makanan, bawalah kemari!" Lalu dibentangkan Nabi tikar kulit. Di antara sahabat-sahabat ada yang membawa korma, ada yang membawa minyak samin, tepung dan sebagainya. Semuanya dicampur jadi satu, dan itulah jamuan pesta perkahwinan Rasulullah saw. (dengan Shafiyah binti Huyai). |