Hadis Sahih Muslim No. 0195 Jilid 1 Topik adalah Bersuci 195. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. berkunjung ke suatu pekuburan, lalu beliau mengucapkan salam: 'Assalamu'alaikum daara qaumi" mukminin. Wa inna insya Allahu bikum laahiquun." (Selamatlah kamu wahai penduduk kampung orang-orang mukmin. Insya Allah kami akan menyusul kamu sekalian). Setelah itu beliau bersabda, "Aku ingin benar, kalaulah kita dapat melihat saudara-saudara kita." Jawab para sahabat, "Bukankah kami ini saudara-saudara Anda, ya Rasulullah?" Jawab Nabi saw., "Anda semua adalah para sahabatku. Saudara-saudara kita yang ku maksudkan ialah orang-orang yang belum datang, tetapi akan datang kelak di hari kiamat." Tanya mereka, "Bagaimana Anda dapat mengenal umat Anda yang belum datang tetapi akan datang di hari kemudian, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw., "Bagaimana pendapat Anda, jika seseorang mempunyai kuda putih kening, putih kaki dan putih tangannya, kemudian kuda itu berada di tengah-tengah kuda banyak tetapi hitam semuanya, dapatkah orang mengenali kudanya?" Jawab mereka, "Tentu, ya Rasulullah. Tentu dapat!" Sabda Nabi saw., "Nah! Mereka itu akan datang nanti dalam keadaan putih bercahaya-cahaya mukanya, tangan dan kakinya, kerana dari bekas wuduk. Dan aku mendahului mereka datang ke telagaku. Ketahuilah! Ada orang-orang yang ku larang mendekat ke telagaku itu, seperti halnya seekor unta sesat. Lalu ku panggil mereka, "Hai, kemarilah!" Tetapi nanti ada yang mengatakan "Mereka itu telah bertukar agama sepeninggal Anda!" Kerana itu ku usir mereka, "Pergilah jauh-jauh!" kataku. |