Hadis Sahih Muslim No. 0137 Jilid 1 Topik adalah Iman 137. Abu Dzar r.a. mengabarkan bahawa Rasulullah saw. bercerita: "Pada suatu ketika, waktu aku masih di Mekah, atap rumah ku tiba-tiba terbuka. Lalu Jibril a.s. turun dan membelah dada ku, kemudian dibersihkannya dengan zamzam. Sesudah itu diambilnya sebuah bejana emas penuh berisi hikmah dan iman, lalu dituangkannya ke dada ku, dan setelah itu dada ku dipertautkannya. Kemudian dipegangnya tangan ku, dan ia membawa ku naik ke langit. Ketika kami sampai di langit dunia, Jibril berkata kepada penjaga langit, "Buka pintu!" Tanya penjaga, "Siapa itu?" Jawabnya, "Aku Jibril! Tanya: Adakah orang lain bersama Anda?" Jawab: "Ya, ada! Bersama ku Muhammad saw." Tanya: "Apakah dia sudah diutus menjadi Rasul?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus." Maka terbukalah pintu untuk kami. Ketika kami telah sampai di langit dunia, tiba-tiba kami melihat seorang lelaki, yang di kanan kirinya tampak menghitam. Apabila dia melihat ke sebelah kanannya dia tertawa, dan apabila dia melihat ke sebelah kirinya dia menangis. Dia berujar kepada ku, "Selamat datang, hai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya, "Siapa ini hai Jibril?" Jawab Jibril, "Ini Adam 'alaihissalam. Yang kelihatan menghitam di kanan kirinya itu ialah ruh anak-cucunya. Yang sebelah kanan penduduk syurga dan yang sebelah kirinya penduduk neraka. Kerana itu, kalau dia menengok ke kanan, dia tertawa dan apabila dia menengok ke kiri dia menangis." Kata Nabi saw. selanjutnya. "Kemudian Jibril membawa ku naik ke langit kedua. Kata Jibril kepada penjaga, "Buka pintu!" Penjaga bertanya seperti pertanyaan penjaga langit dunia. Sesudah itu barulah pintu terbuka. Kata Anas bin Malik, "Nabi saw. menceritakan bahawa di beberapa langit beliau bertemu berturut-turut dengan para Nabi: Adam, Idris, Isa, Musa dan Ibrahim shalawatullahi 'alaihim ajma'in. Beliau tidak meceritakan selengkapnya bagaimana pertemuan beliau dengan para Nabi itu selain hanya menceritakan pertemuannya dengan Adam a.s. di langit dunia, dan dengan Ibrahim di langit keenam." Katanya, "Ketika Jibril a.s. bersama Rasulullah saw. lewat di tempat Idris a.s., Idris berkata: Selamat datang wahai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya kepada Jibril. "Siapa ini?" Jawab Jibril, "Ini Idris!" Kata Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian aku bertemu dengan Musa a.s." Kata Musa kepada ku, "Selamat datang wahai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya, "Siapa ini?" Jawab Ibril, "Ini Musa!" Kemudian aku bertemu dengan Isa a.s. Kata Isa, "Selamat datang Nabi dan anak yang soleh." Tanya ku, "Siapa ini?" J awab Jibril, "Ini 'Isa Ibnu Maryam." Cerita Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian aku bertemu dengan Ibrahim a.s." Katanya, "Selamat datang wahai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya, "Siapa ini?" Jawab, "Ini Ibrahim!" Kata Ibnu Syihab, Ibnu Hazm mengatakan bahawa Ibnu 'Abbas dan Abu Habbah Al Anshari r.a., kedua-duanya berkata, bahawa Rasulullah saw. pernah bercerita: "Kemudian aku dibawa naik ke Mustawa, di mana aku mendengar bunyi coretan kalam." Kata Ibnu Hazm dan Anas bin Malik, Rasulullah saw. menceritakan: Lalu Allah mewajibkan atas umat ku solat 50 kali sehari semalam. Setelah itu aku kembali membawa perintah itu, dan bertemu dengan Musa a.s. Kata Musa, "Kewajipan apa yang diperintahkan Tuhan mu atas umatmu?" Jawab ku, "Allah memerintahkan solat wajib 50 kali." Kata Musa, "Kembalilah kepada Tuhanmu! Sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melakukan sebanyak itu." Kerana itu aku kembali kepada Tuhan ku, lalu Tuhan mengurangi sebahagian. Sesudah itu aku kembali kepada Musa dan ku ceritakan kepadanya bahawa Tuhan mengurangi sebahagian. Kata Musa, "Kembalilah kepada Tuhan mu, sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melakukan sebanyak itu." Kata Nabi saw., "Aku kembali kepada Tuhan ku (sampai berulang kali) sehingga akhirnya Allah berfirman: "Hanya lima, namun nilainya sama dengan lima puluh; dan putusan ini tidak dapat diubah lagi." Sesudah itu aku kembali pula kepada Musa. Dia menyuruh ku lagi supaya aku kembali kepada Tuhan ku, lantas ku jawab, "Aku malu terhadap Tuhan ku." Kata Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian aku meneruskan perjalanan bersama Jibril, hingga sampai ke Sidratul Muntaha. Tempat itu dipulas dengan aneka warna yang aku tak tahu warna apa namanya. Sesudah itu aku dimasukkan ke syurga, yang di dalamnya terdapat kubah-kubah dari permata dan tanahnya dari kasturi." |