Hadis Sahih Bukhari No. 0052 Jilid 1 Topik adalah Ilmu 52, Anas bin Malik r.a., berkata: "Ketika kami sedang duduk bersama-sama Nabi saw. di dalam masjid, masuk seorang laki-Iaki mengenderai unta. Dihentikannya untanya lalu dipautkannya. Kemudian dia bertanya kepada jemaah yang ada di situ: "Yang manakah di antara Anda sekalian orang yang bernama Muhammad ?" Ketika itu Nabi saw. sedang duduk bertelekan di antara orang banyak. Jawab kami, "Itulah beliau, laki-laki putih yang duduk bertelekan." Kata orang itu kepada Nabi, "Hai; anak Abdul Muthalib." Jawab Nabi, "Ya, silakan Anda berbicara aku sedia menjawabnya." Kata orang itu, "Saya hendak bertanya kepada Anda. Mungkin pertanyaan saya ini agak sukar kerana itu janganlah Anda merasa gusar!" Jawab Nabi. "Tanyakanlah apa yang terasa di hati Anda." Kata orang itu. "Saya bertanya dengan nama Tuhan Anda dan Tuhan orang-orang yang dahulu, adakah Allah mengutus Anda kepada umat manusia seluruhnya?" Jawab Nabi, "Ya, Allah! Betul!" Bertanya pula dia, "Saya bertanya dengan nama Allah, adakah Allah menyuruh Anda menegakkan solat lima kali sehari semalam?" Jawab Nabi. "Ya, Allah! Betul!" Tanyanya pula, "Saya bertanya dengan nama Allah, adakah Allah menyuruh Anda mengerjakan puasa bulan ini (Ramadhan) setiap tahun?" Jawab Nabi, "Ya, Allah! Betul" Tanya orang itu pula, "Saya bertanya dengan nama Allah, betulkah Allah menyuruh Anda mengambil sedekah (zakat) dari orang-orang kaya untuk dibahagi-bahagikan kepada orang miskin?" Jawab Nabi, "Ya, Allah! Betul!" Orang itu berkata, "Saya percaya dengan agama yang Anda bawa. Saya utusan dari suku saya, dan namaku Dhiman bin Tsa'labah dari Banu Saad' bin Bakr." |