Hadis Sahih Muslim No. 0005 Jilid 1 Topik adalah Iman 5. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Kami dilarang Rasulullah saw. bertanya sesuatu kepadanya. Kerana itu kami mengharapkan kedatangan orang dusun yang cerdas yang hendak bertanya kepada beliau, sehingga kami dapat mendengarkannya. Lantas, pada suatu ketika datang seorang lelaki penduduk dusun. Dia berujar, "Ya, Muhammad telah datang kepada kami utusan Anda. Dia mengatakan kepada kami, bahawa Anda utusan Allah." Jawab Nabi saw., "Ya, benar!" Tanya orang itu, "Siapa yang menjadikan langit?" Jawab Nabi saw.,"Allah!" Dia bertanya pula, "Siapa yang menjadikan bumi?" Jawab Nabi saw., "Allah!" Tanyanya lagi, "Siapakah yang memasakkan gunung-gunung ini, dan yang menjadikan segala isinya?" Jawab Nabi saw., "Allah!" Ujar orang itu, "Demi Yang menjadikan langit dan bumi, dan Yang memasakkan gunung-gunung ini, sungguhkah Allah yang mengutus Anda?" Jawab Nabi saw., "Ya, benar!" Kata orang itu pula, "Utusan Anda mengatakan, kami wajib solat lima kali sehari semalam." Jawab Nabi saw., "Ya, benar!" Ujar orang itu, "Demi Yang telah mengutus Anda, sungguhkah Allah yang memerintahkan kepada Anda?" Jawab Nabi saw., "Ya, benar!" Kata orang itu pula, "Utusan Anda mengatakan, bahawa kami wajib membayar Zakat harta kami." Jawab Nabi saw., "Ya, benar!" Kata orang itu, "Demi Yang telah mengutus Anda, sungguhkah Allah yang memerintahkan kepada Anda?" Jawab Nabi saw., "Ya, benar!" Ujar orang itu pula, "Utusan Anda mengatakan, bahawa kami wajib puasa sebulan Ramadhan setiap tahun." Jawab Nabi saw. "Ya, benar!" Kata orang itu, "Demi Yang mengutus Anda, sungguhkah Allah yang memerintahkannya kepada Anda?" Jawab Nabi saw., "Ya, benar" Kata orang itu pula, "Utusan Anda juga mengatakan, bahawa kami wajib Haji ke Baitullah, apabila kami sanggup melaksanakannya." Jawab Nabi saw., "Ya,benar!" Kata Anas, "Sesudah itu, orang itu pun berlalu sambil berujar: Demi Allah yang telah mengutus Anda dengan kebenaran, aku tidak akan menambah dan tidak akan mengurangi semuanya." Maka bersabda Nabi saw., "Jika apa yang dikatakannya itu benar-benar ditepatinya, nescaya dia masuk syurga." |