Hadis Sahih Bukhari No. 0003 Jilid 1 Topik adalah Wahyu 3, Dari 'Aisyah, Ummul Mu'minin r.a., katanya: "Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw., ialah berupa mimpi baik waktu beliau tidur. Biasanya mimpi itu terlihat jelas oleh beliau, seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak itu hati beliau tertarik hendak mengasingkan diri ke Gua Hira. Di situ beliau beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. Untuk itu beliau membawa perbekalan secukupnya. Setelah perbekalan habis, beliau kembali kepada Khadijah, untuk mengambil lagi perbekalan secukupnya. Kemudian beliau kembali pula ke Gua Hira, hingga suatu ketika datang kepadanya Al Haq (kebenaran atau wahyu), iaitu sewaktu beliau masih berada di Gua Hira itu."Malaikat datang kepadanya, lalu katanya, "Bacalah!" Jawab Nabi, "Aku tidak pandai membaca." Kata Nabi selanjutnya menceritakan, "Aku ditarik dan dipeluknya sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya pula membaca. "Bacalah !" katanya. Jawab ku, "Aku tidak pandai membaca. "Aku ditarik dan dipeluknya pula sampai aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya pula membaca. "Bacalah!" katanya. Ku jawab, "Aku tidak pandai membaca." Aku ditarik dan dipeluknya untuk ketiga kalinya, kemudian dilepaskannya seraya berkata: "Iqra' bismi rabbikalladzi khalaq. Khalaqal insaana min 'alaq. Iqra'! Wa rabbukal akram. (Bacalah dengan nama Tuhan mu , yang menjadikan. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Demi Tuhan mu Yang Maha Mulia.) Setelah itu Nabi pulang ke rumah Khadijah binti Khuwailid, lalu berkata, "Selimuti aku! Selimuti aku!" Lantas diselimuti oleh Khadijah, hingga hilang rasa takutnya. Kata Nabi saw. kepada Khadijah (setelah dikhabarkannya semua kejadian yang baru dialaminya itu), "Sesungguhnya aku cemas atas diri ku (akan binasa)." Kata Khadijah, "Jangan takut! Demi Allah! Tuhan sekali-kali tidak akan membinasakan Anda. Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang yang sengsara, mengusahakan (mengadakan) barang keperluan yang belum ada, memuliakan tetamu, menolong orang yang kesusahan kerana menegakkan kebenaran. Setelah itu Khadijah pergi bersama Nabi menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, iaitu anak pakcik . Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani (Kristian) pada masa jahiliyah itu. Ia pandai menulis buku dalam bahasa Ibrani. Maka disalinnya Kitab Injil dari bahasa Ibrani seberapa dikehendaki Allah dapat disalinnya. Usianya telah lanjut, dan matanya telah buta. Kata Khadijah kepada Waraqah, "Hai anak pakcik ku ! Dengarkanlah khabar dari Anak Saudara Anda (Muhammad) ini". Kata Waraqah kepada Nabi, ''Wahai Anak Saudara ku! Apakah yang telah terjadi atas diri Anda?" Lalu Rasulullah saw. menceritakan kepadanya semua peristiwa yang telah dialaminya. Berkata Waraqah. "Inilah Namus (Malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu, iaitu ketika Anda diusir oleh kaum Anda." Maka bertanya Rasulullah saw. "Apakah mereka akan mengusir ku?" Jawab Waraqah. "Ya, betul! Belum pernah seorang jua pun yang diberi wahyu seperti Anda, yang tidak dimusuhi orang. Apabila saya masih mendapati hari itu, nescaya saya akan menolong anda sekuat kuatnya." Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terputus untuk sementara waktu. Kata Ibnu Syihab, Abu Salamah bin Abdurrahman mengabarkan kepadanya, bahawa Jabir bin Abdullah Al Anshari menceritakan tentang terputusnya wahyu, katanya Nabi saw. berkata dalam hadisnya ''Pada suatu waktu ketika aku sedang berjalan jalan tiba-tiba kedengaran oleh ku suatu suara dari langit. Maka ku angkat pandangan ku ke arah datangnya suara itu. Kelihatan oleh ku malaikat yang pernah datang kepada ku di Gua Hira dahulu. Dia duduk di kursi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah, "Selimuti aku.". Lalu Allah swt. menurunkan ayat: "Ya, ayyuhal muddatstsir! Qum, fa andzir! Wa rabbaka fa kabbir! Wa tsiyaabaka fa thahhir! War rujza fahjur! (Hai, orang yang berselimut! Bangunlah! Maka berilah peringatan! Dan besarkanlah Tuhanmu!Dan bersihkanlah pakaianmu! Dan jauhilah berhala! Maka semenjak itu wahyu selalu turun berturut-turut. |