Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 155 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

1  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1780.
Dari Yazid bin Hurmuz r.a., katanya Najdah pernah menulis surat kepada Ibnu 'Abbas, menanyakan lima masalah. Kata Ibnu 'Abbas, "Kalaulah aku tidak khuatir akan dianggap menyembunyikan ilmu, tidak ku balas suratnya." Surat Najdah itu begini, "Aroma ba'du (kemudian daripada itu), tolonglah kabarkan kepada ku, adakah kaum perempuan yang pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw.? Adakah mereka diberi pembahagian rampasan perang? Adakah beliau membunuh anak-anak? Bilakah habisnya masa keyatiman seorang anak yatim? Dan untuk siapakah diberikan seperlima pembahagian rampasan perang?" Ibnu 'Abbas membalas surat tersebut sebagai berikut: Anda menanyakan kepadaku,adakah perempuan pergi berperang bersama-sama dengan Rasulullah saw. "Memang, sesungguhnya lah beliau pergi berperang bersama-sama dengan kaum perempuan. Mereka bertugas mengubati yang luka-luka, dan mereka menerima pemberian (ala kadarnya) dari harta rampasan perang, tetapi tidak diberi pembahagian jumlah tertentu. Dan sesungguhnya beliau tidak pernah membunuh anak-anak, kerana itu janganlah kamu bunuh anak-anak. Engkau menanyakan kepada ku bilakah habis masa keyatiman seorang anak yatim? Maka demi seumur hidupku, ada orang yang telah tumbuh janggutnya, tetapi dia masih lemah mengurus dirinya sendiri, mengambil atau memberi. Maka apabila dia telah sanggup mengurus dirinya sendiri, mengambil apa yang baik untuk dirinya seperti halnya orang-orang lain. Maka ketika itu dia telah habis masa keyatimannya. Dan Anda menanyakan pula tentang seperlima harta rampasan untuk siapa? Sesungguhnya kami pernah mengatakan itu untuk kami; tetapi keluarga kami keberatan terhadap kami!"

2  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2265.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila Allah Ta'ala mengasihi seseorang hamba, maka dipanggil-Nya Jibril seraya berfirman: "Hai, Jibril! Sesungguhnya Aku mengasihi si Fulan. Maka kasihi pulalah dia." Lalu Jibril mengasihi orang itu. Kemudian dia berseru kepada penduduk langit, katanya, "Sesungguhnya Allah Ta'ala mengasihi si Fulan. Maka kasihi pulalah dia oleh, kalian semuanya!" Lalu penduduk langit mengasihi orang itu. Kemudian cinta kasih itu sampai kepada penduduk bumi. Dan apabila Allah Ta'ala membenci seseorang hamba, maka dipanggil-Nya Jibril seraya berfirman : "Hai, Jibril! Aku benci kepada si Fulan. Maka benci pulalah kepadanya!" Lalu Jibril membenci orang itu. Kemudian dia berseru kepada penduduk langit, katanya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala membenci si Fulan. Maka benci pulalah kamu semua kepadanya." Kata Nabi saW., "Lalu penduduk langit membenci orang itu, sehingga penduduk bumi membencinya pula."

3  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0042.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw., bersabda: "Kamu tidak dapat masuk syurga, sebelum kamu beriman. Dan kamu belum dapat dikatakan mukmin, sebelum kamu kasih mengasihi satu sama lain. Sukakah kamu aku tunjukkan jalan untuk berkasih-kasihan? Galakkanlah salam antara sesamamu!"

4  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1188.
Dari Ja'far bin Muhammad r.a., dari bapanya, katanya: "Kami datang ke rumah Jabir bin 'Abdullah r.a., lalu dia menanyai kami satu persatu, siapa nama kami masing-masing. Sampai giliranku ku sebutkan nama ku Muhammad bin Ali bin Husein. Lalu dibukanya kancing baju ku yang atas dan yang bawah. Kemudian diletakkannya tapak tangannya antara kedua susu ku. Ketika itu aku masih muda belia. Lalu dia berkata, "Selamat datang wahai anak saudara ku! Tanyakanlah apa yang hendak engkau tanyakan. Lalu aku bertanya kepadanya. Dia telah buta. Ketika waktu solat tiba, dia berdiri di atas sehelai sejadah yang selalu dibawanya. Tiap kali sejadah itu diletakkannya ke bahunya, pinggirnya selalu lekat padanya kerana kecilnya sejadah itu. Aku bertanya kepadanya, "Terangkanlah kepada ku bagaimana caranya Rasulullah saw. melakukan ibadah haji." Lalu dia bicara dengan isyarat tangannya sambil memegang sembilan buah anak jarinya. Katanya, "Sembilan tahun lamanya beliau menetap di Madinah, namun beliau belum haji. Kemudian beliau memberitahukan bahawa tahun kesepuluh beliau akan naik haji. Kerana itu berbondong-bondonglah orang datang ke Madinah, hendak ikut bersama-sama Rasulullah saw. untuk beramal seperti amalan beliau. Lalu kami berangkat bersama-sama dengan beliau. Ketika sampai di Zulhulaifah, Asma' binti 'Umais melahirkan puteranya, Muhammad bin Abu Bakar. Dia menyuruh tanyakan kepada Rasulullah saw. apa yang harus dilakukannya (kerana melahirkan itu). Sabda Rasulullah saw. "Mandi dan pakai kain pembalut mu. Kemudian pakai pakaian ihram mu kembali." Rasulullah saw. solat dua rakaat di masjid Zulhulaifah, kemudian beliau naiki untanya yang bernama Qashwa. Setelah sampai di Baida', ku lihat sekeliling ku, alangkah banyaknya orang yang mengiringkan beliau, yang berkenderaan dan yang berjalan kaki, di kanan kiri dan di belakang beliau. Ketika itu turun Al-Quran (wahyu), di mana Rasulullah saw. mengerti maksudnya, iaitu sebagai petunjuk amal yang harus kami amalkan. Lalu beliau teriakkan bacaan talbiyah: "Labbaika Allahumma labbaika, labbaika la syarika laka labbaika; innal hamda wan ni'mata laka, wal mulka la syarika laka labbaika." Maka talbiyah pula orang ramai seperti talbiyah Nabi saw. itu. Rasulullah saw. tidak melarang mereka membacanya, bahkan sentiasa membacanya terus menerus. Niat kami hanya untuk mengerjakan haji, dan kami belum mengenal 'umrah. Setelah sampai di Bait Allah, beliau cium salah satu sudutnya (hajar aswad), kemudian beliau tawaf, lari-lari kecil tiga kali dan berjalan biasa empat kali. Kemudian beliau terus menuju ke maqam Ibrahim 'alaihis salam. Lalu beliau baca ayat: "Jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.." (Al Baqarah:125). Lalu ditempatkannya maqam itu di antaranya dengan Bait. Sementara itu ayah ku berkata bahawa Nabi saw. membaca dalam solatnya "Qul huwallahu ahad..." (Al Ikhlas: 1-4) dan "Qul ya ayyuhal kafirun " (Al Kafirun: 1-6). Kemudian beliau kembali ke sudut Bait (hajar aswad) lalu di ciumnya pula. Kemudian melalui pintu beliau pergi ke Safa. Setelah dekat ke bukit Safa beliau membaca ayat: "Sesungguhnya saai antara Safa dan Marwah termasuk lambang-lambang kebesaran agama Allah." (Al Baqarah: 158). Kemudian mulailah dia melaksanakan perintah Allah. Maka dinaikinya bukit Safa. Setelah kelihatan Baitullah, lalu dia menghadap ke kiblat seraya mentauhidkan Allah dan mengagungkan-Nya. Ujarnya : "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syaiin qadir. La ilaha illallahu wahdahu, anjaza wa'dahu wa nashara 'abdahu wa hazamal ahzaba wahdahu." Kemudian beliau mendoa. Ucapan tahlil itu diulangnya sampai tiga kali. Kemudian beliau turun ke Marwah. Ketika sampai di lembah, beliau berlari-lari kecil. Dan sesudah itu beliau menuju bukit Marwah, sambil berjalan kembali. Setelah sampai di puncak bukit Marwah, beliau perbuat apa yang diperbuatnya di bukit Safa. Tatkala beliau mengakhiri saainya di bukit Marwah, beliau berujar: "Kalau aku belum lakukan apa yang telah ku perbuat, nescaya aku tidak membawa hadiah,dan menjadikannya umrah." Lalu bertanya Suraqah bin Malik bin Ju'syum, katanya: "Ya, Rasulullah! Apakah untuk tahun ini saja ataukah untuk selama-lamanya?" Rasulullah saw. memperpancakan jari-jari tangannya yang satu ke jari-jari tangannya yang lain seraya berkata: Memasukkan 'umrah ke dalam haji? (2x) Tidak! Bahkan untuk selama-lamanya." Sementara itu 'Ali datang dari Yaman membawa haiwan korban Nabi saw. didapatinya Fatimah termasuk orang yang tahallul; dia mengenakan pakaian bercelup dan bercelak mata. Ali melarangnya berbuat demikian. Jawab Fatimah, "Ayahku sendiri yang menyuruh ku berbuat begini." Kata 'Ali, "Aku pergi menemui Rasulullah saw. minta fatwa beliau terhadap perbuatan Fatimah itu. Ku jelaskan kepada beliau bahawa aku mencegahnya berbuat demikian." Sabda beliau, "Fatimah benar! Fatimah benar!" Kemudian tanya beliau, "Apa yang engkau baca ketika hendak melakukan haji?" Jawab 'Ali, aku membaca "Wahai Allah! Aku niat menunaikan ibadah haji seperti yang dicontohkan Rasul Engkau." Tanya 'Ali, "Tetapi aku membawa haiwan korban, bagaimana itu?" Jawab beliau, "Engkau jangan tahallul." Kata Ja'far, "Jumlah hadiah yang dibawa Ali dari yaman dan yang dibawa Nabi saw., ada seratus ekor. Para jemaah telah tahallul dan bercukur semuanya, melainkan Nabi saw. dan orang-orang yang membawa hadiah beserta beliau. Ketika hari Tarwiyah (8 Zulhijah) tiba, mereka berangkat menuju Mina untuk melakukan ibadah haji. Rasulullah saw. menunggang kenderaannya. Di sana beliau solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak, dan Subuh. Kemudian beliau menanti sebentar hingga terbit matahari; sementara itu beliau menyuruh orang lebih dahulu ke Namirah untuk mendirikan khemah di sana. Sedangkan orang Quraisy mengira bahawa beliau tentu akan berhenti di Masy'aril Haram (sebuah bukit di Muzdalifah). sebagaimana biasanya orang-orang jahiliyah. Tapi ternyata beliau terus saja menuju 'Arafah. Sampai ke Namirah didapatinya khemah-khemah telah didirikan orang. Lalu beliau berhenti untuk istirehat di situ. Ketika matahari telah condong, beliau menaiki untanya meneruskan perjalanan. Sampai di tengah-tengah lembah beliau berpidato. Sabdanya: "Sesungguhnya menumpahkan darah dan merampas harta sesama mu haram, sebagaimana haramnya berperang pada hari ini, Pada bulan ini, dan di negeri ini. Ketahuilah! Semua yang berbau jahiliyah telah dihapuskan di bawah undang-undang ku, termasuk tebusan darah masa jahiliyah. Tebusan darah yang pertama-tama ku hapuskan ialah tebusan darah Ibnu Rabi'ah bin Harits yang disusukan oleh Bani Sa'ad, lalu ia dibunuh oleh Huzail. Begitu pula telah ku hapuskan riba jahiliyah; yang mula-mula ku hapuskan ialah riba yang ditetapkan 'Abbas bin Abdul Muththalib. Sesungguhnya riba itu ku hapuskan semuanya. Kemudian jagalah diri mu terhadap wanita. Kamu boleh mengambil mereka sebagai amanah Allah dan mereka halal bagi mu dengan mematuhi peraturan-peraturan Allah. Setelah itu kamu punya hak atas mereka, iaitu supaya mereka tidak membolehkan orang lain menduduki tikar mu. Jika mereka melanggar, pukullah mereka dengan cara yang tidak membahayakan. Sebaliknya mereka punya hak terhadap mu. Iaitu nafkah dan pakaian yang patut. Ku wariskan kepada mu sekalian suatu undang-undang yang jika kamu pegang teguh, kamu tidak akan tersesat sepeninggal ku, iaitu Kitabullah! Kamu semua akan ditanya mengenai diri ku. Apakah akan jawab mu?" Jawab mereka, "Kami menjadi saksi bahawa engkau telah menyampaikan risalah ini kepada kami, telah menunaikan tugas mu dan telah memberi nasihat kepada kami." Lalu beliau bersabda sambil mengangkat telunjuknya ke langit, dan menunjuk kepada orang ramai. "Wahai Allah! Saksikanlah!" (3x). Sesudah itu beliau azan, kemudian qamat lalu solat Zohor, kemudian qamat lagi, lalu solat Asar tanpa solat sunat antara keduanya. Sesudah itu beliau meneruskan perjalanan menuju ke tempat wukuf. Sampai di sana, dihentikannya unta Qashwa di tempat berbatu-batu dan orang-orang yang berjalan kaki berada di hadapannya. Beliau menghadap ke kiblat dan sentiasa wukuf sampai matahari terbenam dan mega merah hilang. Kemudian beliau teruskan pula perjalanan dengan membonceng Usamah di belakangnya, sedang beliau sendiri memegang kendali. Beliau tarik tali kekang unta Qashwa, sehingga kepalanya hampir menyentuh bantal palana. Beliau bersabda dengan isyarat tangannya, "Hai, orang ramai! Tenang! Tenang!" Tiap-tiap beliau sampai ke pinggang bukit dikendurkannya tali unta sedikit untuk memudahkannya mendaki. Sampai di Muzdalifah beliau solat Maghrib dan Isyak dengan satu kali azan dan dua qamat, tanpa solat sunat antara keduanya. Kemudian beliau tidur hingga terbit fajar. Setelah tiba waktu Subuh, beliau solat Subuh dengan satu azan dan satu qamat. Kemudian beliau tunggangi pula Qashwa meneruskan perjalanan sampai ke Masy'aril Haram. Sampai di sana beliau menghadap ke kiblat, mendoa, takbir, tahlil dan membaca kalimah tauhid. Beliau wukuf di sana hingga langit kekuning-kuningan dan berangkat sebelum matahari terbit sambil membonceng Fadhal Ibnu 'Abbas. Fadhal seorang lelaki berambut indah dan berwajah putih. Ketika beliau berangkat, berangkat pulalah orang-orang besertanya. Fadhal menengok kepada mereka, lalu mukanya ditutup Rasulullah dengan tangannya. Tetapi Fadhal menoleh ke arah lain untuk melihat. Rasulullah saw. menutup pula mukanya dengan tangan yang lain, sehingga Fadhal mengarahkan pandangannya ke tempat lain. Sampai di tengah lembah Muhassir, dipercepatnya untanya melalui jalan tengah yang langsung menembus ke Jumratul Kubra. Sampai di Jumrah yang dekat dengan sebatang pohon, beliau melempar dengan tujuh buah batu kerikil sambil membaca takbir pada setiap lemparan. Kemudian beliau terus ke tempat penyembelihan korban. Di sana beliau menyembelih enam puluh tiga haiwan korban dengan tangannya dan sisanya diserahkannya kepada 'Ali untuk menyembelihnya, iaitu sebagai haiwan korban bersama-sama dengan anggota jemaah yang lain. Kemudian beliau suruh ambil dari setiap haiwan korban itu sepotong kecil, lalu disuruhnya masak dan kemudian beliau makan dagingnya serta beliau minum kuahnya. Sesudah itu beliau naiki kenderaan beliau menuju ke Baitullah untuk tawaf. Beliau solat Zohor di Mekah. Sesudah itu beliau datangi Bani 'Abdul Muththalib yang sedang menimba sumur Zamzam. Beliau bersabda kepada mereka, "Hai Bani Abdul Muththalib! Berilah kami minum! Kalaulah orang ramai tidak akan salah tanggap, tentu akan ku tolong kamu menimba bersama-sama. Lalu mereka timbakan seember, dan beliau minum daripadanya."

5  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1604.
Dari Jabir r.a., katanya: "Seorang wanita yang tinggal di Madinah memberikan sebidang kebun kepada seorang anak lelaki. Kemudian anaknya itu wafat dan sesudah itu wafat pula ibunya. Sedangkan wanita itu meninggalkan pula anak-anaknya yang lain, iaitu saudara bagi anaknya yang meninggal yang diberinya kebun. Berkata anak-anaknya yang masih hidup, "Sekarang kebun itu harus kembali kepada kami." Kata anak-anak dari anaknya yang diberinya kebun, tapi telah meninggal, "Tidak mungkin! Kebun itu adalah milik ayah kami semasa hidupnya dan kini menjadi harta warisan bagi kami setelah beliau meninggal." Maka terjadilah sengketa antara mereka, lalu mereka mengadu kepada Thariq, maula Utsman. Thariq memanggil Jabir r.a., untuk memberi kesaksian bagaimana putusan itu. Rasulullah saw. mengenai kes yang sama, kerana Jabir pernah menyaksikan putusan itu. Kemudian Thariq memutuskan perkara itu sesuai dengan putusan Rasulullah saw. tersebut di atas. Sesudah itu Thariq menulis surat kepada Khalifah Abdul Malik mengkhabarkan putusannya itu, dan mengabarkan kesaksian Jabir. Jawab Abdul Malik, "Kesaksian Jabir, benar!" Kerana itu Thariq melaksanakan putusan tersebut, iaitu kebun yang dipersengketakan itu tetap menjadi milik anak-anak dari anak yang diberi wanita itu hingga sekarang."

6  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2367.
Dari Salman Al Farisi r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah memiliki rahmat (sifat pengasih) seratus (pertus). Maka satu (peratus rahmat di antaranya untuk seluruh makhluk agar berkasih-kasihan sesama mereka (di dunia) sedang yang sembilan puluh sembilan (peratus) untuk hari kiamat kelak."

7  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1740.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengirim pasukan berkuda ke arah Nejed. Mereka dapat menawan dan membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin Utsal, pemimpin penduduk Yamamah. Tawanan itu mereka ikatkan di sebuah tiang di antara tiang-tiang masjid. Rasulullah saw. keluar mendapatkannya seraya berkata, "Apa khabarmu, hai Tsumamah?" Jawab Tsumamah, "Khabar ku baik-baik saja hai Muhammad. Jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah; jika engkau membebaskan ku, engkau membebaskan seorang yang pandai berterima kasih. Jika engkau mengingini harta, mintalah, akan ku berikan berapa engkau kehendaki. Kemudian dia ditinggal oleh Rasulullah saw. Esok beliau bertanya pula kepadanya, "Apa khabarmu, hai Tsumamah?" Jawab Tsumamah, "Seperti telah ku katakan kepada mu, jika engkau membebaskan ku, maka engkau membebaskan orang yang tahu berterima kasih. Dan jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah. Jika engkau ingin harta, mintalah berapa engkau kehendaki, akan ku berikan. Rasulullah saw. meninggalkannya pula sampai esok, kemudian beliau bertanya pula, "Apa khabarmu, hai Tsumamah? Jawab Tsumamah, "Khabar ku seperti yang telah ku katakan kepada mu. Jika engkau bebaskan aku, engkau membebaskan orang yang tahu berterima kasih, jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah. Jika engkau ingin harta, mintalah, akan ku beri berapa engkau kehendaki." Maka bersabda Rasulullah saw., "Bebaskan Tsumamah!" Kemudian Tsumamah pergi ke sebatang pohon kurma dekat masjid, lalu dia mandi. Setelah itu dia masuk ke dalam masjid, dan mengucapkan dua kalimah syahadah: Asyhadu anlaa ilaaha illallah, asyhadu anna Muhammadan 'abduhu Rasuluh. (Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan aku mengaku bahawa Muhammad hamba Allah dan RasulNya). Ya, Muhammad! Demi Allah, tadinya tidak ada seraut wajah yang paling ku benci di muka bumi ini selain wajahmu. Tetapi kini, wajahmulah yang paling ku cintai di antara seluruh wajah. Demi Allah, tadinya tidak ada agama yang paling ku benci selain agamamu. Tetapi kini, agamamulah yang paling ku cintai daripada sekalian agama. Tidak ada negeri yang paling ku benci selain dari negerimu ini. Tetapi kini, negeri inilah yang paling ku cintai daripada sekalian negeri. Ketika pasukan berkuda mu menangkap ku, aku bermaksud hendak pergi umrah. Sekarang bagaimana pendapatmu?" Rasulullah menyampaikan berita gembira kepadanya, sesudah itu beliau menyuruhnya pergi umrah. Sesampainya di Mekah orang bertanya kepadanya, "Apakah engkau pindah agama?" Jawabnya, "Tidak! Tetapi saya memeluk agama Islam bersama-sama Rasulullah saw. Demi Allah! Janganlah kamu harap, sebiji gandum pun tidak akan datang kepada mu dari Yamamah, sebelum mendapat izin dari Rasulullah saw."

8  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1677.
Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, katanya: "Pada suatu ketika, Ma'iz bin Malik datang kepada Nabi saw., lalu dia berkata kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Jawab Rasulullah saw., "Amboi, kasihan! Pulanglah, lalu minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepada-Nya." Ma'iz pergi, tetapi belum begitu jauh dia kembali lagi seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Jawab Rasulullah saw., "Amboi, kasihan! Pulanglah, minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepada-Nya!" Ma'iz pergi, tetapi belum begitu jauh dia kembali lagi dan berkata kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Nabi saw. menjawab seperti semula dan hal seperti itu berulang sampai empat kali. Pada kali yang keempat Rasulullah saw. bertanya, "Dari hal apakah engkau harus ku sucikan?" Jawab Ma'iz, "Dari dosa berzina." Rasulullah saw. bertanya kepada para sahabat yang ada di sekitarnya ketika itu, "Apakah si Ma'iz ini mengidap penyakit gila?" Jawab para sahabat, "Tidak, ya Rasulullah! Dia tidak gila!" Tanya Nabi saw. berikutnya, "Apakah dia baru habis minum khamar?" Seorang sahabat berdiri, lalu membaui Ma'iz, tetapi tidak mencium bau khamar di mulut Ma'iz. Maka bertanya Rasulullah saw. kepada Ma'iz, "Betulkah engkau berzina?" Jawab Ma'iz, "Benar, ya Rasulullah!" Rasulullah memerintahkan supaya dilaksanakan hukuman rejam terhadap Ma'iz, lalu dia direjam. Terdapat dua pendapat dalam masalah ini. Yang pertama mengatakan bahawa Ma'iz mati, dan dosanya hapus kerana hukuman yang dijalaninya secara ikhlas. Yang kedua mengatakan, bahawa Ma'iz taubat sebenar-benar taubat. Tiada taubat yang melebihi taubat Ma'iz. Dia datang menghadap Nabi saw., lalu diletakkannya tangannya di tangan Nabi, kemudian katanya, "Ya, Rasulullah! Hukum mati1ah aku dengan batu! (rejamlah aku)!" Mereka sentiasa dalam perbezaan pendapat seperti itu selama dua atau tiga hari. Kemudian Rasulullah saw. datang. Setelah memberi salam, lalu beliau duduk bersama-sama dengan mereka. Maka bersabda Rasulullah saw., "Mintakanlah ampun bagi Ma'iz bin Malik." Lalu mereka memohon semuanya, "Semoga Allah mengampuni Ma'iz bin Malik." Rasulullah saw. bersabda, "Ma'iz. betul-betul telah taubat dengan sempurna taubat. Seandainya taubat Ma'iz dapat dibahagi di antara satu kaum, pasti mencukupi untuk mereka semua." Kemudian datang pula seorang perempuan dari desa Ghamid, suku Azdi, lalu dia berkata, "Ya, Rasulullah! Sucikanlah aku!" Jawab Rasulullah saw., "Amboi, kasihan! Pulanglah engkau, lalu minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepada-Nya!" Kata perempuan itu, "Kulihat Anda sengaja menyuruh ku pulang, seperti yang Anda lakukan terhadap Ma'iz bin Malik," Tanya Nabi saw., "Mengapa begitu?" Perempuan itu mengatakan bahawa dia telah hamil akibat berzina. Tanya Nabi saw., "Engkau sendiri yang berbuat?" Jawabnya, "Betul, ya Rasulullah!" Nabi saw. bersabda kepadanya, tunggulah dahulu sampai engkau melahirkan." Lalu perempuan itu ditanggung kehidupannya oleh seorang lelaki Ansar sampai dia melahirkan. Setelah dia melahirkan, maka diberitahukannya kepada Rasulullah saw., katanya, "Ya, Rasulullah! Perempuan desa Ghamid itu sudah melahirkan." Jawab Rasulullah saw., "Biarkanlah dahulu kerana anaknya masih kecil, sedang orang yang akan menyusukannya tidak ada." Maka berdiri seorang lelaki Ansar lalu dia berkata, "Aku yang menanggung susunya!" Kata Buraidah, "Setelah itu maka dilaksanakanlah hukuman rejam terhadap perempuan desa Ghamid itu."

9  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1703.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Pada suatu ketika, ada dua orang wanita sedang bermain-main bersama anak-anak mereka. Tiba-tiba datang seekor serigala, lalu diterkamnya anak salah seorang dari mereka, kemudian dibawanya lari. Si ibu yang punya anak itu berkata kepada temannya, "Anakmu ditangkapnya." Jawab temannya, "Bukan! Tetapi anakmulah yang ditangkapnya." Kemudian mereka pergi kepada Nabi Daud a.s. Beliau memutuskan, anak (yang masih hidup) untuk wanita lebih tua. Kemudian keduanya pergi kepada Nabi Sulaiman a.s. Lalu mereka menceritakan kepada beliau sengketa mereka berdua. Kata Nabi Sulaiman, "Bawa pisau kemari! Aku akan membelah dua anak ini, kemudian membaginya untukmu berdua." Jawab yang muda, "Jangan! Semoga Allah melimpahkan rahmatNya bagi Anda - Anak ini adalah anaknya (wanita yang tua)." Kerana itu Nabi Sulaiman memutuskan, anak itu adalah anak wanita yang muda.

10  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2503.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini kelak di syurga." Dan beliau memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)."