Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA solat jemaah BERJAYA MENCAPAI 320 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI SAHIH MUSLIM SUNAN AT-TERMIZI

1  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0372.
Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika sakit Rasulullah saw. bertambah berat, Bilal datang seperti biasa memberitahukan waktu solat telah tiba. Lalu beliau bersabda, "Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjemaah dengan orang ramai." "Ya, Rasulullah!" Kata 'Aisyah, "Abu Bakar itu seorang lelaki penyedih. Kalau dia yang menggantikan anda menjadi imam suaranya tidak kedengaran oleh orang ramai. Bagaimana kalau 'Umar saja yang disuruh'?" Sabda Rasulullah saw., "Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjemaah dengan orang ramai!" Kata 'Aisyah selanjutnya, "Lalu hal itu ku katakan kepada Hafshah, supaya dia menyampaikan kepada Nabi saw. bahawa Abu Bakar seorang penyedih. Kalau dia yang disuruh menjadi imam menggantikan Nabi, suaranya tidak kedengaran oleh orang ramai. Kerana itu alangkah baiknya kalau 'Umar yang disuruh." Lalu Hafshah mengatakannya kepada Nabi saw. Sabda Rasulullah saw., "Anda semua termasuk kelompok Yusuf. Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjemaah dengan orang ramai." Kerana itu, akhirnya Abu Bakarlah yang menjadi imam. Pada suatu ketika, sewaktu Abu Bakar sedang mengimami solat berjemaah dengan orang ramai, kebetulan Rasulullah saw. merasa sakitnya agak ringan. Lalu beliau pergi solat berjemaah di papah dua orang lelaki, dan kedua kaki beliau terjulai ke tanah. Sesampainya di masjid, Abu Bakar mendengar desah nafas beliau datang. Lalu dia berusaha hendak mundur, tetapi Rasulullah saw. memberi isyarat kepadanya supaya dia tetap di tempatnya, dan beliau didudukkan orang di sebelah kiri Abu Bakar, setentang dengannya. Kata 'Aisyah, "Ketika itu Rasulullah saw. solat berjemaah mengimami orang ramai sambil duduk, sedangkan Abu Bakar berdiri. Abu Bakar mengikut kepada Nabi saw., sedangkan jemaah yang banyak mengikuti Abu Bakar."

2  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0360.
Dari Hiththan bin Abdullah Al Raqayi La., katanya: "Pada suatu ketika, aku solat bersama Abu Musa Al Asy'ari. Ketika solat telah sampai kepada duduk (tasyahhud), seorang lelaki yang ikut berjemaah membaca 'Uqirratish solatu bil birri waz zakati' (Solat digabung dengan amal-amal baik dan dengan zakat)." Setelah selesai solat, Abu Musa menghadap ke belakang lalu bertanya, "Siapakah yang membaca kata-kata itu tadi?" Jemaah diam saja. Abu Musa bertanya kembali, "Siapakah di antara kamu yang membaca kata-kata itu tadi?" Jemaah diam juga. Lalu Abu Musa berkata. "Engkau barangkali, ya Hiththan?" Jawab ku, "Tidak! Aku tidak membacanya. Aku takut kalau anda memarahi ku kerananya." Lalu seorang lelaki anggota jemaah berkata, "Akulah yang membacanya. Maksud ku hanya untuk kebaikan semata-mata." Kata Abu Musa, "Apakah kamu belum tahu bacaan-bacaan yang harus dibaca dalam solat?" Sesungguhnya Rasulullah saw. telah berkhuthbah di hadapan kami, di mana beliau menjelaskan kepada kami perihal agama kita, dan mengajarkan kepada kami tentang cara kita solat. Beliau bersabda, "Apabila kamu solat (berjemaah), buatlah shaf (barisan). Kemudian pilihlah salah seorang di antara kamu menjadi imam. Apabila imam itu takbir, maka takbir pulalah kamu semua. Dan apabila imam itu membaca 'ghairil maghdhubi 'alaihim waladh dhallin', maka bacalah bersama-sama 'Amin'." Dengan begitu kamu akan dikasihi Allah. Apabila imam itu takbir dan rukuk, maka hendaklah kamu takbir dan rukuk pula, dan seharusnya lah imam itu ruku dan mengangkat kepala lebih dahulu dari kamu. Begitulah sabda Rasulullah saw. Kemudian, apabila imam membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka bacalah 'Allahumma rabbana lakal hamdu'. Pasti Allah mendengar pujianmu itu. Begitulah Allah telah berfirman melalui lidah NabiNya. Apabila imam itu takbir dan sujud, maka takbir dan sujud pulalah kamu. Sesungguhnya imam itu harus sujud dan mengangkat kepala sebelum kamu. Demikianlah Rasulullah saw. bersabda begini dan begitu. Dan ketika duduk (tasyahhud), hendaklah dibaca: "Attahiyyatuth thayyibatush shalawatu lillah. Assalamu alaika ayyuhannabiyyu wa rahmatullahi wa barakatuhu. Assalamu 'alaina wa 'ala 'ibadillahish shalihin. Asyhadu alla ilaaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu. (Segala kehormatan, kebaikan dan doa, hanya tertuju kepada Allah semata-mata. Keselamatan bagi mu wahai Nabi, beserta rahmat dan berkat dari Allah. Keselamatan atas kami dan atas para hamba yang soleh. Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu hamba dan Rasul Allah.'"

3  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0286.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. solat bersama kami, salah satu dari dua solat petang. (Kata Ibnu Sirin yang meriwayatkan hadis ini dari Abu Hurairah, Abu Hurairah ada menyebutkan nama solat itu, tetapi Ibnu Sirin telah lupa). Maka Nabi saw. solat bersama kami dua rakaat lalu memberi salam. Sesudah itu beliau berdiri pada sebuah kayu yang dilintangkan di masjid dan bertelekan padanya. Beliau kelihatan seperti orang sedang marah. Diletakkannya tangan kanannya di atas tangan kirinya dan dipersilangkannya jari-jari kedua tangannya, kemudian diletakkannya pipi kanan di punggung telapak tangan kiri. Orang-orang yang ingin cepat, telah keluar dari pintu masjid sambil bertanya-tanya, "Apakah solat diperpendek?" Di antara jemaah waktu itu terdapat juga Abu Bakar dan Umar. Tetapi keduanya tidak berani menanyakan hal itu kepada Nabi saw. Dari dalam jemaah itu terdapat pula seorang sahabat yang panjang kedua belah tangannya sehingga dia dipanggilkan "Dzul Yadain". Orang ini bertanya kepada Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Apakah anda lupa, ataukah memang solat dipersingkat?" Jawab Nabi, "Saya tidak lupa dan solat tidak pula dipersingkat." Lalu beliau bertanya (kepada jemaah), "Betulkah itu apa yang ditanyakan Dzul Yadain itu?" Jawab jemaah, "Betul." kerana itu Nabi saw. berdiri kembali menyempurnakan rakaat yang tinggal, kemudian beliau memberi salam. Sesudah itu beliau takbir dan sujud seperti sujudnya dalam solat atau lebih. Kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir, sesudah itu sujud pula seperti sujud solat atau lebih, kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir." Kata perawi menambahkan, boleh jadi mereka bertanya, "Adakah Nabi memberi salam sesudah itu" Katanya, Imran bin Husain "Sesudah itu, Nabi saw. memberi salam. "

4  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0613.
Dari Abdullah r.a., katanya: "Siapa yang ingin bertemu dengan Allah kelak sebagai seorang muslim yang sempurna, maka hendaklah dia selalu solat berjemaah setiap mendengar azan. Kerana Allah telah mengukuhkan hukum-hukum agama kepada Nabi-Nya, di antaranya ialah solat berjemaah itu. Andaikata anda solat sendirian di rumah anda, tidak datang ke masjid seperti halnya orang-orang yang tidak datang ini, bererti anda meninggalkan "sunnah nabi" anda. Apabila anda meninggalkan sunnah Nabi, bererti anda sesat. Siapa berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia pergi ke salah satu masjid, maka dituliskan Allah baginya untuk setiap langkah yang dilangkahkannya ke masjid itu, pahala satu kebajikan dan diangkat darjatnya satu darjat, serta dihapus daripadanya dosa satu kejahatan. Menurut pendapat kami, orang yang tidak suka solat berjemaah ke masjid, ialah orang-orang munafik. Namun begitu, masih ada orang yang pergi solat berjemaah ke masjid, dipapah oleh dua orang lelaki sampai ia ditegakkan dalam saf."

5  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0374.
Berita dari Abu Hurairah La. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid), sekalipun dengan merangkak." Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah)."

6  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0070.
Abu Mas'ud al Anshari r.a. menceritakan bahawa seseorang mengadu kepada Rasulullah saw. katanya, "Ya, Rasulullah! Hampir saja aku tidak mampu , solat berjemaah, kerana si Fulan yang menjadi imam memanjangkan solatnya bersama kami." Saya belum pernah melihat Nabi saw. sangat marah waktu mengajar, seperti marahnya di hari itu. Sabda beliau, "Para jemaah semuanya! Janganlah Anda menjauhkan orang dari solat berjemaah. Siapa mengimami solat, hendaklah ia memendekkan solatnya, kerana di antara mereka (makmum) ada orang yang sakit, orang yang lemah, dan orang yang mempunyai keperluan."

7  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0210.
Berita dari 'Imran mengatakan : "Kami menyertai Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan dan kami berjalan hingga jauh malam. Kami berhenti pada suatu perhentian dan segera mengantuk kerana lelah. Tidak ada tidur yang lebih enak bagi seorang musafir daripada tidur di bahagian akhir malam. Sehingga tidak ada yang membangunkan kami selain teriknya panas matahari. Orang yang bangun pertama kali ialah si Fulan, kemudian itu si Fulan, dan kemudian itu lagi si Fulan (nama-nama orang itu ada disebutkan oleh Abu Raja' yang menerima hadis ini dari 'Imran, tetapi 'Auf yang menerima hadis ini dari Abu Raja' telah lupa), kemudian itu bangun pula Umar bin Khathab nombor empat. Nabi saw. sendiri apabila beliau tidur, tidak ada yang berani membangunkan, sehingga beliau bangun sendiri; kerana kita tidak tahu apa yang sedang terjadi dengan beliau waktu beliau tidur. Setelah Umar bangun dan melihat apa yang terjadi, padahal dia seorang yang bersikap keras, lalu dia takbir dengan suara sekeras-kerasnya sehingga Rasulullah saw. terbangun oleh suaranya itu. Setelah Nabi bangun, mereka mengadu kepada beliau apa yang telah terjadi (iaitu solat subuh mereka luput kerana tertidur). " Jawab Nabi saw., "Tidak mengapa dan marilah kita berangkat!" Setelah berangkat dan berjalan tidak berapa jauhnya, Nabi berhenti dan meminta air untuk berwuduk. Setelah wuduk dan azan, maka Nabi solat berjemaah dengan rombongannya. Setelah selesai solat, Nabi melihat seseorang yang menjauhkan diri dan tidak ikut solat berjemaah dengan rombongan. Nabi bertanya: "Hai, Fulan! Mengapa anda tidak ikut solat berjemaah bersama rombongan?" Jawabnya, "Saya kena jinabah, sedangkan air tidak ada." Sabda Nabi saw., "Gunakanlah tanah, sesungguhnya tanah itu cukup untukmu (bertayammum)." Sesudah itu Nabi saw. dan rombongan meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, rombongan mengadu kepada Nabi saw. bahawa mereka haus. Nabi berhenti dan memanggil si Fulan, yang namanya disebutkan oleh Abu Raja', tetapi 'Auf yang menerima hadis ini dari Abu Raja' lupa namanya, dan dipanggilnya pula' Ali bin Abi Thalib. Kata Nabi saw., "Pergilah anda berdua mencari air!" Keduanya lalu pergi mencari air. Mereka bertemu dengan seorang wanita sedang duduk di antara dua mazadah di punggung untanya. Keduanya bertanya kepada wanita itu, "Di manakah kami boleh memperoleh air?" Jawab wanita itu, "Kelmarin saya telah berjanji akan membawa air ke sini sekarang, kaum kami sedang menunggu-nunggu." Kata keduanya, "Berjalanlah sekarang juga!" Tanya wanita itu, "Kemana?" Jawab keduanya, "Kepada Rasulullah saw." Tanya wanita itu, "Apakah yang anda maksudkan orang yang disebut Ash Shabi (pembawa agama baru) itu?" Jawab keduanya, "Ya, betul orang yang anda maksudkan itu. kerana itu teruslah berjalan kepadanya." Keduanya membawa wanita itu kepada Rasulullah saw. dan menceritakan peristiwa di atas kepada beliau. Kata Nabi saw., "Suruhlah wanita itu turun dari untanya!" Dan Nabi menyuruh mengambil sebuah bejana, lalu dituangkannya air dari, mulut kedua mazadah itu dan setelah itu ditutupnya kembali, kemudian dibukanya pula mulut mazadah yang lain. Kemudian dipanggilnya seluruh rombongan dan disuruhnya minum, "Minumlah kamu sekalian dan beri minum pula binatang-binatangmu!" Maka minumlah mereka semuanya dan memberi minum pula siapa yang hendak memberi minum binatang-binatangnya. Akhirnya Nabi saw. memberikan sebuah bejana berisi air kepada orang yang kena jinabah. Kata Nabi kepadanya: "Pergilah anda mandi!" Wanita itu berdiri saja memperhatikan apa yang dibuat orang dengan airnya. Demi Allah, setelah seluruh rombongan selesai mengambil air, kami lihat mazadah itu lebih penuh isinya dari sebelumnya. Sabda Nabi saw., "Kumpulkan barang makanan untuk wanita ini!" Maka dikumpulkan orang untuk dia, makan-makanan seperti tamar, susu, tepung. Setelah terkumpul, lalu dibungkus dengan sehelai kain, kemudian wanita itu dinaikkan ke atas untanya kembali dan bungkusan itu diletakkan di hadapannya. , Kata Nabi kepadanya, "Engkau tahu, kami tidak mengurangi airmu sedikit pun. hanya Allah swt. yang memberi minum kami. " Maka sampailah wanita itu kepada kaumnya dan dia terlambat datang. Kata mereka, "Mengapa engkau terlambat, hai, Fulanah?" Jawab wanita itu, "Sungguh ajaib! Saya bertemu dengan dua orang laki-laki, lalu saya dibawanya kepada orang yang di sebut Ash Sahbi (pembawa agama baru). Lalu dibuatnya begini dan begitu. Demi Allah, sesungguhnya dia seorang tukang sihir yang sangat pandai di antara ini dan ini (dia berkata dengan isyarat dua anak jarinya) jari tengah dan jari telunjuk, kemudian mengangkat keduanya ke langit, maksudnya antara langit dan bumi, atau dia itu benar-benar Rasulullah sesungguhnya." Tidak lama kemudian, kaum muslimin menyerang orang-orang musyrik di sekitar kampung wanita tadi, tetapi mereka tidak menyerang kaum tempat asal wanita itu sendiri. Pada suatu hari wanita itu berkata kepada kaumnya, "Saya kira kaum muslimin itu dengan sengaja tidak menyerang kamu kerana itu Islamlah kamu!" Mereka patuh akan ajakan wanita itu, lalu semuanya masuk Islam.

8  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0370.
Dari 'Ubaidillah bin Abdullah r.a., katanya dia datang ke rumah Aisyah hendak bertanya. "Dapatkah ibu menceritakan kepada ku tentang sakit Rasulullah saw"?" katanya. Jawab 'Aisyah, "Baiklah! Ketika sakit Rasulullah saw. bertambah berat, beliau bertanya, "Sudah solatkah orang ramai?" Jawab kami, "Belum!" Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah." Sabda beliau, "Tolong sediakan air untukku di ember!" Setelah kami sediakan, maka beliau pun mandi. Kemudian beliau berusaha sedapat-dapatnya hendak pergi solat (berjemaah), tetapi tiba-tiba beliau jatuh pengsan. Setelah siuman beliau bertanya, "Sudah solatlah orang ramai?" Jawab kami, "Belum! Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah." Lalu beliau bersabda, "Tolong sediakan untukku air di ember" Setelah kami sediakan, beliau pun mandi, dan sesudah itu beliau berusaha sedapat-dapatnya hendak pergi solat, tetapi tiba-tiba beliau pengsan lagi. Setelah siuman dia bertanya pula, "Sudah solatkah orang ramai?" Jawab kami, "Belum! Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah." Sabda beliau, "Tolong sediakan untukku air di ember!" Setelah kami sediakan, maka beliau pun mandi, kemudian beliau berusaha sedapat-dapatnya hendak pergi solat, tetapi beliau pengsan lagi. Setelah siuman beliau bertanya pula, "Sudah solatkah orang ramai?" Jawab kami, "Belum! Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah'" Kata 'Aisyah, "Ketika itu jemaah tetap diam di masjid menunggu Rasulullah saw. hendak solat 'Isya. Kemudian Rasulullah menyuruh seseorang kepada Abu Bakar, supaya menyuruhnya mengimami solat orang ramai. Jawab Abu Bakar, dia seorang yang lemah lembut. "Hai, 'Umar! Andalah yang lebih patut menjadi imam!" Kata 'Aisyah, "Akhirnya Abu Bakarlah yang mengimami mereka solat, sehingga beberapa hari lamanya. Kemudian, setelah sakit Rasulullah saw. beransur ringan, beliau pergi solat Zohor di papah oleh dua orang lelaki, salah seorang di antaranya ialah 'Abbas, Ketika beliau tiba, ternyata Abu Bakar telah mulai solat mengimami orang ramai. Tatkala Abu Bakar menyadari bahawa Rasulullah datang, dia berusaha hendak mundur dan memberi kesempatan kepada Nabi menjadi imam. Tetapi Nabi saw. memberi isyarat kepadanya agar tetap berada di tempat dan jangan mundur. Sementara itu Nabi berkata kepada kedua orang yang memapah beliau, "Dudukkan aku di samping Abu Bakar!" Lalu keduanya mendudukkan beliau disamping Abu Bakar. Abu Bakar solat sambil berdiri mengikuti solat Rasulullah saw., sedangkan orang ramai solat mengikuti Abu Bakar, padahal Nabi sendiri solat sambil duduk. Kata 'Ubaidillah, "Kemudian aku datang ke rumah 'Abdullah bin 'Abbas lalu kataku kepadanya, "Apakah anda belum tahu hadis yang diriwayatkan 'Aisyah tentang sakit Rasulullah saw"?" Jawab 'Abdullah, "Ceritakanlah!" Lalu kuceritakan hadis itu kepadanya, tetapi dia tidak membantah apa-apa selain katanya, "Apakah 'Aisyah tidak menyebutkan kepada mu orang yang satu lagi?" Jawab ku, "Tidak'" Kata 'Abdullah bin 'Abbas, "Orang itu ialah 'Ali!"

9  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1188.
Dari Ja'far bin Muhammad r.a., dari bapanya, katanya: "Kami datang ke rumah Jabir bin 'Abdullah r.a., lalu dia menanyai kami satu persatu, siapa nama kami masing-masing. Sampai giliranku ku sebutkan nama ku Muhammad bin Ali bin Husein. Lalu dibukanya kancing baju ku yang atas dan yang bawah. Kemudian diletakkannya tapak tangannya antara kedua susu ku. Ketika itu aku masih muda belia. Lalu dia berkata, "Selamat datang wahai anak saudara ku! Tanyakanlah apa yang hendak engkau tanyakan. Lalu aku bertanya kepadanya. Dia telah buta. Ketika waktu solat tiba, dia berdiri di atas sehelai sejadah yang selalu dibawanya. Tiap kali sejadah itu diletakkannya ke bahunya, pinggirnya selalu lekat padanya kerana kecilnya sejadah itu. Aku bertanya kepadanya, "Terangkanlah kepada ku bagaimana caranya Rasulullah saw. melakukan ibadah haji." Lalu dia bicara dengan isyarat tangannya sambil memegang sembilan buah anak jarinya. Katanya, "Sembilan tahun lamanya beliau menetap di Madinah, namun beliau belum haji. Kemudian beliau memberitahukan bahawa tahun kesepuluh beliau akan naik haji. Kerana itu berbondong-bondonglah orang datang ke Madinah, hendak ikut bersama-sama Rasulullah saw. untuk beramal seperti amalan beliau. Lalu kami berangkat bersama-sama dengan beliau. Ketika sampai di Zulhulaifah, Asma' binti 'Umais melahirkan puteranya, Muhammad bin Abu Bakar. Dia menyuruh tanyakan kepada Rasulullah saw. apa yang harus dilakukannya (kerana melahirkan itu). Sabda Rasulullah saw. "Mandi dan pakai kain pembalut mu. Kemudian pakai pakaian ihram mu kembali." Rasulullah saw. solat dua rakaat di masjid Zulhulaifah, kemudian beliau naiki untanya yang bernama Qashwa. Setelah sampai di Baida', ku lihat sekeliling ku, alangkah banyaknya orang yang mengiringkan beliau, yang berkenderaan dan yang berjalan kaki, di kanan kiri dan di belakang beliau. Ketika itu turun Al-Quran (wahyu), di mana Rasulullah saw. mengerti maksudnya, iaitu sebagai petunjuk amal yang harus kami amalkan. Lalu beliau teriakkan bacaan talbiyah: "Labbaika Allahumma labbaika, labbaika la syarika laka labbaika; innal hamda wan ni'mata laka, wal mulka la syarika laka labbaika." Maka talbiyah pula orang ramai seperti talbiyah Nabi saw. itu. Rasulullah saw. tidak melarang mereka membacanya, bahkan sentiasa membacanya terus menerus. Niat kami hanya untuk mengerjakan haji, dan kami belum mengenal 'umrah. Setelah sampai di Bait Allah, beliau cium salah satu sudutnya (hajar aswad), kemudian beliau tawaf, lari-lari kecil tiga kali dan berjalan biasa empat kali. Kemudian beliau terus menuju ke maqam Ibrahim 'alaihis salam. Lalu beliau baca ayat: "Jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.." (Al Baqarah:125). Lalu ditempatkannya maqam itu di antaranya dengan Bait. Sementara itu ayah ku berkata bahawa Nabi saw. membaca dalam solatnya "Qul huwallahu ahad..." (Al Ikhlas: 1-4) dan "Qul ya ayyuhal kafirun " (Al Kafirun: 1-6). Kemudian beliau kembali ke sudut Bait (hajar aswad) lalu di ciumnya pula. Kemudian melalui pintu beliau pergi ke Safa. Setelah dekat ke bukit Safa beliau membaca ayat: "Sesungguhnya saai antara Safa dan Marwah termasuk lambang-lambang kebesaran agama Allah." (Al Baqarah: 158). Kemudian mulailah dia melaksanakan perintah Allah. Maka dinaikinya bukit Safa. Setelah kelihatan Baitullah, lalu dia menghadap ke kiblat seraya mentauhidkan Allah dan mengagungkan-Nya. Ujarnya : "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syaiin qadir. La ilaha illallahu wahdahu, anjaza wa'dahu wa nashara 'abdahu wa hazamal ahzaba wahdahu." Kemudian beliau mendoa. Ucapan tahlil itu diulangnya sampai tiga kali. Kemudian beliau turun ke Marwah. Ketika sampai di lembah, beliau berlari-lari kecil. Dan sesudah itu beliau menuju bukit Marwah, sambil berjalan kembali. Setelah sampai di puncak bukit Marwah, beliau perbuat apa yang diperbuatnya di bukit Safa. Tatkala beliau mengakhiri saainya di bukit Marwah, beliau berujar: "Kalau aku belum lakukan apa yang telah ku perbuat, nescaya aku tidak membawa hadiah,dan menjadikannya umrah." Lalu bertanya Suraqah bin Malik bin Ju'syum, katanya: "Ya, Rasulullah! Apakah untuk tahun ini saja ataukah untuk selama-lamanya?" Rasulullah saw. memperpancakan jari-jari tangannya yang satu ke jari-jari tangannya yang lain seraya berkata: Memasukkan 'umrah ke dalam haji? (2x) Tidak! Bahkan untuk selama-lamanya." Sementara itu 'Ali datang dari Yaman membawa haiwan korban Nabi saw. didapatinya Fatimah termasuk orang yang tahallul; dia mengenakan pakaian bercelup dan bercelak mata. Ali melarangnya berbuat demikian. Jawab Fatimah, "Ayahku sendiri yang menyuruh ku berbuat begini." Kata 'Ali, "Aku pergi menemui Rasulullah saw. minta fatwa beliau terhadap perbuatan Fatimah itu. Ku jelaskan kepada beliau bahawa aku mencegahnya berbuat demikian." Sabda beliau, "Fatimah benar! Fatimah benar!" Kemudian tanya beliau, "Apa yang engkau baca ketika hendak melakukan haji?" Jawab 'Ali, aku membaca "Wahai Allah! Aku niat menunaikan ibadah haji seperti yang dicontohkan Rasul Engkau." Tanya 'Ali, "Tetapi aku membawa haiwan korban, bagaimana itu?" Jawab beliau, "Engkau jangan tahallul." Kata Ja'far, "Jumlah hadiah yang dibawa Ali dari yaman dan yang dibawa Nabi saw., ada seratus ekor. Para jemaah telah tahallul dan bercukur semuanya, melainkan Nabi saw. dan orang-orang yang membawa hadiah beserta beliau. Ketika hari Tarwiyah (8 Zulhijah) tiba, mereka berangkat menuju Mina untuk melakukan ibadah haji. Rasulullah saw. menunggang kenderaannya. Di sana beliau solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak, dan Subuh. Kemudian beliau menanti sebentar hingga terbit matahari; sementara itu beliau menyuruh orang lebih dahulu ke Namirah untuk mendirikan khemah di sana. Sedangkan orang Quraisy mengira bahawa beliau tentu akan berhenti di Masy'aril Haram (sebuah bukit di Muzdalifah). sebagaimana biasanya orang-orang jahiliyah. Tapi ternyata beliau terus saja menuju 'Arafah. Sampai ke Namirah didapatinya khemah-khemah telah didirikan orang. Lalu beliau berhenti untuk istirehat di situ. Ketika matahari telah condong, beliau menaiki untanya meneruskan perjalanan. Sampai di tengah-tengah lembah beliau berpidato. Sabdanya: "Sesungguhnya menumpahkan darah dan merampas harta sesama mu haram, sebagaimana haramnya berperang pada hari ini, Pada bulan ini, dan di negeri ini. Ketahuilah! Semua yang berbau jahiliyah telah dihapuskan di bawah undang-undang ku, termasuk tebusan darah masa jahiliyah. Tebusan darah yang pertama-tama ku hapuskan ialah tebusan darah Ibnu Rabi'ah bin Harits yang disusukan oleh Bani Sa'ad, lalu ia dibunuh oleh Huzail. Begitu pula telah ku hapuskan riba jahiliyah; yang mula-mula ku hapuskan ialah riba yang ditetapkan 'Abbas bin Abdul Muththalib. Sesungguhnya riba itu ku hapuskan semuanya. Kemudian jagalah diri mu terhadap wanita. Kamu boleh mengambil mereka sebagai amanah Allah dan mereka halal bagi mu dengan mematuhi peraturan-peraturan Allah. Setelah itu kamu punya hak atas mereka, iaitu supaya mereka tidak membolehkan orang lain menduduki tikar mu. Jika mereka melanggar, pukullah mereka dengan cara yang tidak membahayakan. Sebaliknya mereka punya hak terhadap mu. Iaitu nafkah dan pakaian yang patut. Ku wariskan kepada mu sekalian suatu undang-undang yang jika kamu pegang teguh, kamu tidak akan tersesat sepeninggal ku, iaitu Kitabullah! Kamu semua akan ditanya mengenai diri ku. Apakah akan jawab mu?" Jawab mereka, "Kami menjadi saksi bahawa engkau telah menyampaikan risalah ini kepada kami, telah menunaikan tugas mu dan telah memberi nasihat kepada kami." Lalu beliau bersabda sambil mengangkat telunjuknya ke langit, dan menunjuk kepada orang ramai. "Wahai Allah! Saksikanlah!" (3x). Sesudah itu beliau azan, kemudian qamat lalu solat Zohor, kemudian qamat lagi, lalu solat Asar tanpa solat sunat antara keduanya. Sesudah itu beliau meneruskan perjalanan menuju ke tempat wukuf. Sampai di sana, dihentikannya unta Qashwa di tempat berbatu-batu dan orang-orang yang berjalan kaki berada di hadapannya. Beliau menghadap ke kiblat dan sentiasa wukuf sampai matahari terbenam dan mega merah hilang. Kemudian beliau teruskan pula perjalanan dengan membonceng Usamah di belakangnya, sedang beliau sendiri memegang kendali. Beliau tarik tali kekang unta Qashwa, sehingga kepalanya hampir menyentuh bantal palana. Beliau bersabda dengan isyarat tangannya, "Hai, orang ramai! Tenang! Tenang!" Tiap-tiap beliau sampai ke pinggang bukit dikendurkannya tali unta sedikit untuk memudahkannya mendaki. Sampai di Muzdalifah beliau solat Maghrib dan Isyak dengan satu kali azan dan dua qamat, tanpa solat sunat antara keduanya. Kemudian beliau tidur hingga terbit fajar. Setelah tiba waktu Subuh, beliau solat Subuh dengan satu azan dan satu qamat. Kemudian beliau tunggangi pula Qashwa meneruskan perjalanan sampai ke Masy'aril Haram. Sampai di sana beliau menghadap ke kiblat, mendoa, takbir, tahlil dan membaca kalimah tauhid. Beliau wukuf di sana hingga langit kekuning-kuningan dan berangkat sebelum matahari terbit sambil membonceng Fadhal Ibnu 'Abbas. Fadhal seorang lelaki berambut indah dan berwajah putih. Ketika beliau berangkat, berangkat pulalah orang-orang besertanya. Fadhal menengok kepada mereka, lalu mukanya ditutup Rasulullah dengan tangannya. Tetapi Fadhal menoleh ke arah lain untuk melihat. Rasulullah saw. menutup pula mukanya dengan tangan yang lain, sehingga Fadhal mengarahkan pandangannya ke tempat lain. Sampai di tengah lembah Muhassir, dipercepatnya untanya melalui jalan tengah yang langsung menembus ke Jumratul Kubra. Sampai di Jumrah yang dekat dengan sebatang pohon, beliau melempar dengan tujuh buah batu kerikil sambil membaca takbir pada setiap lemparan. Kemudian beliau terus ke tempat penyembelihan korban. Di sana beliau menyembelih enam puluh tiga haiwan korban dengan tangannya dan sisanya diserahkannya kepada 'Ali untuk menyembelihnya, iaitu sebagai haiwan korban bersama-sama dengan anggota jemaah yang lain. Kemudian beliau suruh ambil dari setiap haiwan korban itu sepotong kecil, lalu disuruhnya masak dan kemudian beliau makan dagingnya serta beliau minum kuahnya. Sesudah itu beliau naiki kenderaan beliau menuju ke Baitullah untuk tawaf. Beliau solat Zohor di Mekah. Sesudah itu beliau datangi Bani 'Abdul Muththalib yang sedang menimba sumur Zamzam. Beliau bersabda kepada mereka, "Hai Bani Abdul Muththalib! Berilah kami minum! Kalaulah orang ramai tidak akan salah tanggap, tentu akan ku tolong kamu menimba bersama-sama. Lalu mereka timbakan seember, dan beliau minum daripadanya."

10  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0609.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. melihat amat sedikit orang solat berjemaah. Kerana itu beliau bersabda: "Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang mengimami solat berjemaah (menggantikan ku), kemudian aku pergi mencari orang-orang yang tidak datang berjemaah, sesudah itu ku suruh bakar rumah-rumah mereka dengan ikatan-ikatan kayu bakar. Kalaulah mereka tahu betapa besarnya pahala yang akan mereka peroleh, nescaya mereka akan mendatanginya."