Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA ayat kursi BERJAYA MENCAPAI 52 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

1  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1122.
Dari Abu Hurairah r.a., "Rasulullah saw. menugaskan daku untuk menjaga Zakat Ramadhan (Zakat Fitrah). Kemudian datang seseorang kepada ku, maka diambilnya segenggam makanan, dan orang itu dapat ku tangkap. Lalu aku berkata kepadanya, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah saw." Katanya, "Saya perlu, kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat." Kata Abu Hurairah, "Kerana itu, saya biarkan saja orang itu." Esok pagi Nabi saw. bersabda, "Hal, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu, kerana mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan, lalu saya biarkan saja dia." Sabda Nabi, "Sebenarnya dia dusta kepada mu dan ia akan kembali." Saya yakin bahawa ia akan kembali kerana pemberitahuan Rasulullah saw. itu. Lalu saya intip dia. Memang benar, orang itu datang lagi lalu diambilnya segenggam makanan, dan terus saya tangkap. Kataku, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah saw." Katanya, "Biarkanlah saya, kerana saya sangat perlu dan mempunyai keluarga. Sesudah ini tidak akan saya ulangi lagi." Saya pun merasa kasihan, lalu saya biarkan dia. Pagi-pagi Rasulullah saw. bersabda pada ku, "Hai, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu dan berkeluarga. Aku merasa kasihan kepadanya, lalu ku biarkan saja dia." Sabda beliau, "Sebenarnya ia dusta kepada mu, dan ia bakal kembali." Saya intip dia untuk ketiga kalinya. Memang benar, ia pun datang lalu diambilnya segenggam makanan, lantas saya tangkap, seraya berkata. "Engkau mesti saya adukan kepada Rasulullah saw. Inilah yang ketiga kalinya engkau mengatakan tidak akan kembali, tetapi nyatanya engkau kembali juga." Katanya, "Lepaskanlah aku, nanti ku ajarkan kepada mu kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah kepada mu, apabila engkau membaca kalimah itu." Kataku, "Apakah kalimah itu?" Jawabnya, "Apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat Kursi: Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum, (Al Baqarah, 2 : 255) hingga sampai akhir ayat. Maka engkau sentiasa dalam pemeliharaan Allah, sedangkan syaitan tidak akan berkati mu sampai pagi." Setelah itu saya biarkan dia. Pagi Rasulullah saw. bersabda kepada ku, "Apa yang diperbuat tawanan mu tadi?" Kataku, "Ya, Rasulullah! Dia ajarkan kepada ku beberapa kalimah katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu ku biarkan dia." Sabda beliau, "Apakah kalimah itu?" , Jawab ku, "Ia mengatakan kepada ku, apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat kursi dari awal sampai akhir. Yakni. Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum.(hingga akhirnya). Katanya kepada ku: Engkau akan sentiasa, dalam pemeliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekati mu sampai pagi." Dan biasanya para sahabat itu sangat, mengingini kebaikan. Nabi saw. bersabda, "Sesungguhnya ia telah benar kepada mu. Padahal ia sangat pendusta. Tahukah engkau, dengan siapa engkau bercakap-cakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?" Jawab Abu Hurairah, "Tidak!" Sabda beliau. "Itulah syaitan!"

2  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0003.
Dari 'Aisyah, Ummul Mu'minin r.a., katanya: "Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw., ialah berupa mimpi baik waktu beliau tidur. Biasanya mimpi itu terlihat jelas oleh beliau, seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak itu hati beliau tertarik hendak mengasingkan diri ke Gua Hira. Di situ beliau beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. Untuk itu beliau membawa perbekalan secukupnya. Setelah perbekalan habis, beliau kembali kepada Khadijah, untuk mengambil lagi perbekalan secukupnya. Kemudian beliau kembali pula ke Gua Hira, hingga suatu ketika datang kepadanya Al Haq (kebenaran atau wahyu), iaitu sewaktu beliau masih berada di Gua Hira itu."Malaikat datang kepadanya, lalu katanya, "Bacalah!" Jawab Nabi, "Aku tidak pandai membaca." Kata Nabi selanjutnya menceritakan, "Aku ditarik dan dipeluknya sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya pula membaca. "Bacalah !" katanya. Jawab ku, "Aku tidak pandai membaca. "Aku ditarik dan dipeluknya pula sampai aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya pula membaca. "Bacalah!" katanya. Ku jawab, "Aku tidak pandai membaca." Aku ditarik dan dipeluknya untuk ketiga kalinya, kemudian dilepaskannya seraya berkata: "Iqra' bismi rabbikalladzi khalaq. Khalaqal insaana min 'alaq. Iqra'! Wa rabbukal akram. (Bacalah dengan nama Tuhan mu , yang menjadikan. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Demi Tuhan mu Yang Maha Mulia.) Setelah itu Nabi pulang ke rumah Khadijah binti Khuwailid, lalu berkata, "Selimuti aku! Selimuti aku!" Lantas diselimuti oleh Khadijah, hingga hilang rasa takutnya. Kata Nabi saw. kepada Khadijah (setelah dikhabarkannya semua kejadian yang baru dialaminya itu), "Sesungguhnya aku cemas atas diri ku (akan binasa)." Kata Khadijah, "Jangan takut! Demi Allah! Tuhan sekali-kali tidak akan membinasakan Anda. Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang yang sengsara, mengusahakan (mengadakan) barang keperluan yang belum ada, memuliakan tetamu, menolong orang yang kesusahan kerana menegakkan kebenaran. Setelah itu Khadijah pergi bersama Nabi menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, iaitu anak pakcik . Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani (Kristian) pada masa jahiliyah itu. Ia pandai menulis buku dalam bahasa Ibrani. Maka disalinnya Kitab Injil dari bahasa Ibrani seberapa dikehendaki Allah dapat disalinnya. Usianya telah lanjut, dan matanya telah buta. Kata Khadijah kepada Waraqah, "Hai anak pakcik ku ! Dengarkanlah khabar dari Anak Saudara Anda (Muhammad) ini". Kata Waraqah kepada Nabi, ''Wahai Anak Saudara ku! Apakah yang telah terjadi atas diri Anda?" Lalu Rasulullah saw. menceritakan kepadanya semua peristiwa yang telah dialaminya. Berkata Waraqah. "Inilah Namus (Malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu, iaitu ketika Anda diusir oleh kaum Anda." Maka bertanya Rasulullah saw. "Apakah mereka akan mengusir ku?" Jawab Waraqah. "Ya, betul! Belum pernah seorang jua pun yang diberi wahyu seperti Anda, yang tidak dimusuhi orang. Apabila saya masih mendapati hari itu, nescaya saya akan menolong anda sekuat kuatnya." Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terputus untuk sementara waktu. Kata Ibnu Syihab, Abu Salamah bin Abdurrahman mengabarkan kepadanya, bahawa Jabir bin Abdullah Al Anshari menceritakan tentang terputusnya wahyu, katanya Nabi saw. berkata dalam hadisnya ''Pada suatu waktu ketika aku sedang berjalan jalan tiba-tiba kedengaran oleh ku suatu suara dari langit. Maka ku angkat pandangan ku ke arah datangnya suara itu. Kelihatan oleh ku malaikat yang pernah datang kepada ku di Gua Hira dahulu. Dia duduk di kursi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah, "Selimuti aku.". Lalu Allah swt. menurunkan ayat: "Ya, ayyuhal muddatstsir! Qum, fa andzir! Wa rabbaka fa kabbir! Wa tsiyaabaka fa thahhir! War rujza fahjur! (Hai, orang yang berselimut! Bangunlah! Maka berilah peringatan! Dan besarkanlah Tuhanmu!Dan bersihkanlah pakaianmu! Dan jauhilah berhala! Maka semenjak itu wahyu selalu turun berturut-turut.

3  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1238.
Dari Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. kalau hendak bepergian, beliau undi antara isteri-isteri beliau. Siapa di antaranya yang keluar undiannya, beliau membawanya berangkat. Beliau mengundi antara kami untuk pergi kepada suatu peperangan. Maka keluarlah undian saya. Lalu saya berangkat bersama beliau sesudah turun ayat hijab (perintah bertutup muka). Saya dibawa dan ditumpangkan di atas sekedup, lalu kami berjalan. Setelah Rasulullah s.a.w. selesai dari peperangan itu, beliau berangkat pulang. Setelah kami berhenti dekat Madinah, malam harinya diberitahukan untuk berangkat. Ketika pemberitahuan itu, saya pun berdiri lalu berjalan hingga saya melampaui tentera. Setelah saya menyiapkan keperluan, dan saya bersiap-siap untuk berangkat, saya raba dada saya, kebetulan kalung saya jaz'i azfar (sebangsa akik) telah putus. Segera saya kembali mencari kalung saya, sehingga saya terlambat kerana mencarinya. Mereka yang akan berangkat itu datang ke tempat saya tadi, lalu mereka angkat sekedup saya dan mereka letakkan di atas punggung unta kenderaan saya. Mereka mengira saya dalam sekedup itu, kerana perempuan waktu itu berbadan ringan tiada berat badannya dan tiada banyak dagingnya, kerana mereka makan hanya sedikit. Orang itu tiada curiga ketika mengangkatnya, lalu sekedup itu mereka bawa. Mereka menyuruh unta berdiri dan terus berjalan. Kalung saya dapat kembali sesudah tentang pergi. Saya datang ke tempat tentera tetapi tiada seorang juapun lagi di situ, maka saya tujulah tempat yang saya tempati semula, kerana menurut dugaan saya, tentu setelah mereka tahu bahawa saya hilang, mereka akan mencari saya. Ketika saya sedang duduk, mata saya mengantuk, lalu saya tertidur. Safwan bin Mu'aththal Assulami Zakwani berjalan di belakang tentera. Waktu subuh ia tiba dekat tempatku, maka dilihatnya bayangan manusia sedang tidur. Lalu ia datang menemui saya, dan ia pernah melihat saya sebelum bertutup, lalu saya terbangun kerana ia membaca: Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun, ketika ia menyimpuhkan untanya. Kemudian diinjaknya tangan unta itu, lalu saya kenderai, dan ia pun berjalan mengheret unta saya, sehingga kami sampai kepada tentera ketika mereka sedang beristirehat waktu mulai tengah hari. Maka curigalah orang yang curiga. Yang memelopori khabar dusta itu ialah Abdullah bin Ubayy bin Salul. Kemudian kami sampai di Madinah dan saya sakit selama sebulan. Mereka menyiarkan khabar bohong. Saya merasakan sewaktu saya sakit, saya tiada melihat kesayangan Nabi s.a.w. sebagaimana biasa saya lihat kalau saya sakit. Hanya waktu beliau masuk, beliau memberi salam, kemudian bertanya: "Bagaimana keadaanmu?" Saya tiada mengetahui hal yang demikian itu sampai saya sembuh. Waktu saya telah sembuh, saya ke luar bersama Ummu Misthah ke tempat buang air besar. Kami hanya keluar malam hari. Itu sebelum kami membuat bilik air dekat rumah kami. Dan keadaan kami sebagaimana keadaan orang Arab zaman dahulu, buang air di tengah padang. Lalu saya berjalan bersama Ummu Misthah binti Abu Ruhmin. Ia terbentur (tertarung) pada kainnya, lalu berkata: "Celaka Misthah!" Saya berkata kepadanya: "Alangkah jeleknya perkataanmu! Mengapa engkau caci laki-laki yang turut serta dalam peperangan Badar?" Jawabnya: "Hai! Tidakkah engkau tahu apa yang mereka perkatakan?" Lalu diceritakannya kepada saya berita bohong itu. Maka bertambah hebatlah penyakit saya di samping sakit yang telah ada. Setelah saya kembali ke rumah. Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat saya, lalu beliau memberi salam dan bertanya:"Bagaimana keadaanmu?" Kata saya: "Izinkan lah saya menemui ibu bapa saya". Kata Aisyah: Ketika itu saya hendak meyakinkan tentang pekhabaran itu dari keduanya. Rasulullah mengizinkan saya, lalu saya datang menjumpai ibu bapa saya. Saya bertanya kepada ibu: "Apakah yang ramai dibicarakan orang banyak?" Jawabnya: "Wahai anakku! Janganlah engkau perdulikan keadaan itu terhadap dirimu! Demi Allah, sesungguhnya jaranglah perempuan cantik di samping laki-laki yang mengasihinya dan ia bermadu, tentulah madunya akan memperbanyak cacian kepadanya." Kata saya: "Subhanallah! Benarlah orang banyak membicarakan hal ini!" Kata Aisyah: Malamnya saya tinggal di situ sampai pagi. Air mata ku mengalir tiada putus-putus, dan saya tidak boleh tidur. Pada paginya, Rasulullah s.a.w. memanggil Ali bin Abu Thalib dan Usamah bin Zaid, ketika wahyu lambat (terhenti) turunnya. Beliau bermusyawarat dengan keduanya mengenai perpisahan dengan isteri beliau. Adapun Usamah memberikan pandangannya kepada beliau dengan nama Tuhan yang mengetahui diri beliau tentang kasihnya terhadap mereka. Usamah berkata: "Dari hal isteri tuan hai Rasulullah! Demi Allah, tiada yang kami ketahui melainkan baik." Ali bin Abu Thalib berkata: "Hai Rasulullah! Tuhan tiada akan menyulitkan tuan. Perempuan yang lain masih banyak. Tuan tanyalah jariyah (hamba), dia akan berkata benar kepada tuan!" Rasulullah s.a.w. memanggil Barirah, lalu beliau bertanya: "Hai Barirah! Adakah engkau ketahui pada Aisyah sesuatu yang mencurigakan engkau?" Barirah menjawab: "Tidak, demi Tuhan yang mengutus tuan dengan hak. Tiada hamba ketahui padanya keadaan yang dapat hamba cela. Tapi ia hanya seorang perempuan yang muda usianya. Ia tidur meninggalkan tepung yang dibasahi untuk dibuat roti, dan binatang-binatang kecil datang memakannya." Hari itu Rasulullah s.a.w. berdiri berkhutbah. Beliau menyatakan keberatan terhadap Abdullah bin Ubayy bin Salul. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapakah yang akan menolong saya terhadap laki-laki yang saya dengar mengganggu isteri saya. Demi Allah! Saya hanya mengetahui isteri saya sebagai seorang yang baik. Dan mereka menyebut laki-laki yang menurut pengetahuan saya orang baik. Ia tiada pernah masuk ke rumah isteri saya selain dengan saya." Maka Saad bin Muaz berdiri lalu berkata: "Hai Rasulullah! Demi Allah, saya menolong tuan terhadapnya. Kalau ia dari golongan Aus, kami penggal lehernya. Kalau ia saudara kami dari golongan Khazraj perintahkan lah kepada kami. supaya kami lakukan perintah tuan. "Saad bin Ubadah lalu berdiri. Dia pemimpin Khazraj. Sebelum itu dia seorang laki-laki yang baik. Tetapi dia didorong oleh rasa kesukuan (kesombongan), katanya: "Demi Allah! Engkau bohong! Jangan engkau bunuh dia dan engkau tidak boleh membunuhnya." Usaid bin Hudair berdiri pula, katanya: "Demi Allah! Engkau bohong. sesungguhnya kami mesti membunuhnya. Sebenarnya engkau munafik, engkau membela orang-orang munafik." Maka ributlah dua golongan Aus dan Khazraj, sehingga terjadi keributan dan hampir berbunuh-bunuhan dan Rasulullah s.a.w. sedang di atas mimbar. Segera beliau turun, lalu beliau tenangkan mereka, sehingga mereka diam dan beliau diam pula. Kata Aisyah: Hari itu saya menangis, air mata ku tiada putus-putusnya dan saya tidak boleh tidur. Pagi harinya ibu bapa berada di sisi saya. Saya telah menangis sehari dua malam, hingga saya kira tangis itu membelah hatiku. Ketika keduanya sedang duduk di sisi saya dan saya menangis, tiba-tiba seorang perempuan Ansar minta izin masuk, lalu saya izinkan ia duduk menangis bersama saya.Kata Aisyah: Ketika kami dalam keadaan demikian, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. masuk lalu beliau duduk. Beliau tiada duduk di sisi saya semenjak hari orang memperkatakan diri saya. Selama satu bulan beliau tiada menerima wahyu mengenai keadaan saya. Kata Aisyah: Nabi mengucapkan syahadat membaca: (Asyhadu an la ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah), kemudian beliau bersabda: "Hai Aisyah! Saya telah mendapat berita tentang diri mu begini dan begitu. Kalau engkau tiada bersalah (suci), maka Tuhan akan membebaskan engkau. Tetapi kalau engkau berbuat dosa, maka mohonlah ampunan kepada Allah dan taubatlah kepadaNya. Sesungguhnya seorang hamba kalau mengakui dosanya, kemudian ia taubat. Tuhan akan menerima taubatnya." Setelah Rasulullah s.a.w. selesai bersabda, keringlah air mata saya hingga tiada terasa setitis pun. Saya berkata kepada bapa saya: "Bapa, tolonglah jawabkan kepada Rasulullah." Saya berkata kepada ibu: "Ibu, tolonglah jawabkan kepada Rasulullah!" Jawabnya: "Saya tidak mengetahui apa yang akan saya katakan kepada Rasulullah!" Kata Aisyah selanjutnya: "Saya seorang perempuan yang masih muda, tiada banyak membaca Quran." Katanya: "Demi Allah! Sesunguhnya saya mengetahui bahawa tuan telah mendengar apa yang diperbincangkan manusia dan masuk ke dalam hati tuan dan tuan pun membenarkannya. Demi, jika saya katakan kepada tuan, bahawa saya tiada bersalah (dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya saya tiada bersalah) tuan tiada juga akan membenarkan saya tentang itu. Demi, jika saya mengaku bersalah (sedang Allah mengetahui bahawa saya tiada bersalah) tentulah tuan akan membenarkan. Demi Allah, tiada saya dapati perumpamaan antara saya dan tuan, melainkan ketika bapa Yusuf berkata: "Hanyalah sabar yang lebih elok! Dan Allah tempat minta tolong terhadap apa yang kamu terangkan." Kemudian saya pindah ke tikar tempat tidur saya, sambil mengharapkan dibebaskan (disucikan) Tuhan saya kiranya. Tetapi, demi Allah, tiada saya kira bahawa wahyu diturunkan mengenai keadaan saya. Saya sendiri merasa terlalu kecil untuk disebutkan keadaan saya di dalam Quran. Hanya saya mengharapkan bahawa Rasulullah s.a.w. akan melihat (bermimpi) waktu tidur suatu mimpi, bahawa Tuhan membebaskan saya (menyatakan tiada bersalah). Demi Allah sebelum beliau hendak pergi ke majlis beliau, dan belum seorang pun dari isi rumah yang ke luar, maka diturunkan lah wahyu kepada beliau. Beliau merasa payah, sehingga keringat beliau bercucuran seperti mutiara, pada hal waktu itu musim dingin. Setelah wahyu kepada Rasulullah s.a.w. selesai, beliau tertawa. Perkataan pertama yang beliau katakan dihadapkan kepada saya: "Hai Aisyah! Pujilah Allah! Sesungguhnya Tuhan telah membebaskan engkau (menyatakan tiada bersalah)." Ibu berkata kepada saya: "Berdirilah engkau menghadap Rasulullah s.a.w.!" Jawab saya: "Tidak, demi Allah! Saya tidak akan berdiri menghadap beliau, dan tiada yang akan saya puji melainkan Allah!" Tuhan yang Maha Tinggi telah menurunkan ayat yang ertinya: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah golongan kamu juga sampai akhir ayat. (Surat An Nur, 11 . 12). Setelah Tuhan menurunkan ayat tentang kesucian saya, Abu Bakar Siddik, yang membelanjai Misthah bin Asasah kerana kerabatnya, berkata: "Demi Allah, untuk selamanya saya tiada akan membelanjai Misthah sedikit pun, sesudah ia memperkatakan tentang hal Aisyah." Tuhan yang Maha Tinggi lalu menurunkan ayat yang ertinya: "Orang-orang yang mempunyai kekayaan dan kelapangan di antara kamu janganlah bersumpah bahawa mereka tiada akan memberi pertolongan kepada kerabat sampai Tuhan itu Pengampun dan Penyayang". (Surat An Nur, ayat 22). Kemudian Abu Bakar berkata: "Demi Allah, sesungguhnya saya suka bahawa Tuhan akan mengampuni saya." Lalu ia kembali membelanjai Misthah sebagai dahulu. Dan Rasulullah s.a.w.. menanyakan pada Zainab binti Jahsy dari hal keadaanku. Nabi bertanya: "Apakah yang engkau ketahui tentang apa yang engkau lihat?" Jawab Zainab: "Hai Rasulullah! Saya menjaga pendengaran dan penglihatan saya. Demi Allah, tiada saya ketahui tentang dirinya melainkan baik." Katanya Aisyah: "Dan dia (Zainab) yang menyamai saya, maka Tuhan memeliharanya dengan wara' (taqwa kepada Tuhan)."

4  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1918.
Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: Saya disuruh datang oleh Abu Bakar bertalian dengan pertempuran di Yamamah, dan di dekatnya ada Umar. Abu Bakar mengatakan bahawa Umar datang kepadanya dan berkata: "Sesungguhnya orang-orang yang hafal Quran telah banyak yang tewas dalam perang Yamamah. Saya khuatir akan banyak pula orang-orang yang hafal Quran itu tewas di setiap medan pertempuran, sehingga menyebabkan sebahagian besar dari Quran itu hilang. Sebab itu, saya berpendapat supaya " engkau memerintahkan pengumpulan Quran dalam satu buku." Saya (Abu Bakar) menjawab: "Bagaimana saya akan berani memperbuat sesuatu yang belum pernah diperbuat oleh Rasulullah saw?" Kata Umar: "Demi Allah! Itu suatu hal yang baik. Umar terus mendesak saya untuk mengerjakan hal itu, sampai Allah membukakan hati saya sesuai dengan yang telah dibukakan Allah kepada hati Umar, sehingga saya berpendapat tentang pengumpulan Quran itu sesuai dengan pendapat Umar." Zaid mengatakan, bahawa Abu Bakar mengatakan kepadanya: "Sesungguhnya engkau seorang pemuda yang cerdas dan kami tidak menambah curiga kepada engkau dan engkau biasa menuliskan wahyu atas perintah Rasulullah saw. Kerana itu, periksalah ayat-ayat Quran dan kumpulkan semuanya!" Kata Zaid: "Demi Allah! Kalau saya dibebani memindahkan sebuah bukit di antara bukit-bukit nescaya tidak akan lebih berat bagi saya dari apa yang dibebankan kepada saya, iaitu mengumpulkan Quran." Kata Zaid (kepada Abu Bakar dan Umar): "Bagaimana engkau keduanya membuat sesuatu .yang belum diperbuat oleh Rasulullah saw?" Jawab Abu Bakar: "Demi Allah! Hal itu sangat baik!" Abu Bakar sentiasa mendesak saya dan akhirnya Allah membukakan hati saya sesuai dengan yang dibukakanNya kepada Abu Bakar dan Umar, dan akhirnya saya sependapat tentang itu dengan pendapat keduanya. Lalu ayat-ayat Quran itu saya cari di mana-mana dan saya kumpulkan dari tulisan-tulisan pada pelepah korma, kertas dan batu, dan dari hafalan beberapa orang. Akhirnya Surat Taubah yang berbunyi: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari bangsa kamu juga sampai akhir ayat, saya dapat dari Khuzaimah atau Abu Khuzaimah. Lalu saya persambungkan ayat itu dalam surat Taubah. Quran (yang telah terkumpul) itu disimpan oleh Abu Bakar semasa hidupnya. Dan sesudah beliau meninggal, disimpan oleh Umar semasa hidupnya. Sesudah Umar wafat disimpan oleh Hafshah binti Umar.

5  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1822.
Dari Abdullah bin Umar r.a. sesungguhnya dia mengatakan, bahawa ada beberapa orang Yahudi datang kepada Rasulullah saw. Mereka memberitakan kepada beliau tentang seorang laki-laki dan seorang perempuan melakukan perzinaan. Lalu Rasulullah saw. menanyakan kepada mereka: "Apakah yang kamu dapati dalam Taurat tentang soal rejam?" Mereka menjawab: "Orang berzina itu kami beri malu dan dipukul." Kata Abdullah bin Salam (kepada orang Yahudi): "Kamu dusta! Dalam Taurat ada hukuman rejam." Lalu mereka kemukakan Kitab Taurat dan dibuka. Ada seorang di antara mereka meletakkan tangannya untuk menutup ayat rejam itu dan dibacanya hanya yang sebelum dan yang sesudah ayat rejam itu. Lalu Abdullah bin Salam menyuruh orang itu mengangkat tangannya dan kebetulan di situ ada ayat berkenaan dengan rejam. Orang Yahudi tadi berkata: "Benar dia, Ya Muhammad! Di situ ada ayat tentang hukuman rejam." Rasulullah memerintahkan supaya kedua orang yang berzina itu direjam. Saya melihat laki-laki melindungi perempuan supaya jangan kena batu."

6  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1567.
Dari Tariq bin Syihab r.a.: Beberapa orang Yahudi berkata: "Kalau sekiranya ayat ini diturunkan kepada kami, tentu kami jadikan hari itu suatu hari raya". Umar bertanya: "Apakah ayat itu?" Jawab mereka: "Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku cukupkan untuk kamu nikmatKu. dan Aku senang Islam menjadi agamamu". (Al Maidah, 3) Kata Umar: "Saya tahu di tempat mana ayat itu turun. Ayat itu turun ketika Rasulullah s.a.w. sedang wuquf di Arafah "

7  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0947.
Dari Sahl bin Sa'd r.a.. katanya: Ayat: "Wa kuluu wasyrabuu hatta yatabayyana lakumul khaithul abyadhu minal khaithil aswadi (dan makanlah dan minumlah kamu sehingga jelas bagi mu benang putih daripada benang hitam), ayat itu seperti itu dan belum turun kata-kata "minal fajri". Maka orang yang bermaksud hendak puasa mengikatkan benang putih dan benang hitam di kakinya, dan ia sentiasa makan sehingga jelas kelihatan baginya kedua macam benang itu. Kemudian Allah swt. menurunkan firman-Nya: "minal fajri" (yaitu fajar), barulah mereka tahu bahawa yang dimaksud dengan ayat itu ialah malam dan siang."

8  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1280.
Dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: Saya menyalin tulisan ayat Quran beberapa halaman, maka tiada saya dapati satu ayat dari surat Al Ahzab yang pernah saya dengar Rasulullah s.a.w. membacanya. Ayat itu hanya kedapatan pada Khuzaimah bin Tsabit, orang Ansar, di mana Rasulullah s.a.w. menjadikan kesaksiannya sama dengan kesaksian dua orang laki-laki lain, iaitu firman Tuhan yang ertinya: "Di antara orang-orang mukmin ada beberapa orang laki-laki yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Tuhan" (Surat Al Ahzab, 23).

9  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1279.
Dari Anas r.a., katanya: Bapa kecilku Anas bin Nadr tidak ikut serta dalam peperangan Badr. Lalu ia berkata: "Hai Rasulullah! Saya tiada turut dalam permulaan perang waktu tuan memerangi orang musyrik. Kalau sekiranya Tuhan menghadirkan saya waktu memerangi orang musyrik itu tentu Tuhan akan melihat apa yang saya kerjakan", Dan setelah tiba hari peperangan Uhud dan orang Muslim mendapat kemenangan, Anas bin Nadr berkata: "Ya Allah! Saya minta 'uzur kepada Engkau dari hal yang dikerjakan mereka, yakni sahabat-sahabatnya, dan saya minta kepada Engkau terlepas dari hal yang dikerjakan mereka itu, yakni orang-orang musyrik. Kemudian ia tampil ke muka, lalu bertemu dengan Saad bin Muaz, Lalu ia berkata: "Hai Saad bin Muaz! Syurga, demi Tuhan! Sesungguhnya saya dapati baunya dari jurusan Uhud". Saad berkata: "Tiada saya sanggupi, hai Rasulullah, mengerjakan apa yang dikerjakannya itu", Anas berkata: Maka kami dapati pada Anas bin Nadr lebih dari lapan puluh bekas kena pedang atau tusukan lembing atau kena anak panah. Kami dapati ia telah dibunuh dan dicincang oleh orang-orang musyrik. Tiada seorang pun yang mengenalnya selain saudaranya yang perempuan, dengan memperhatikan jarinya. Anas berkata: Kami mengira ayat ini diturunkan berkenaan dengan hal itu dan yang serupa itu, iaitu ayat yang ertinya: "Di antara orang-orang mukmin ada beberapa orang laki-laki yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Tuhan sampai akhir ayat" (surat Al Ahzab. 23).

10  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1546.
Dari Abdullah bin Umar r.a.: Ada orang Yahudi datang kepada Rasulullah s.a.w. Mereka ceritakan kepada beliau, bahawa seorang laki-laki dan seorang perempuan di antara mereka berzina. Rasulullah menanyakan kepada mereka: "Apakah yang kamu dapati dalam Taurat mengenai hukuman rejam?" Mereka menjawab: "Mereka kami hinakan dan kami dera". Abdullah bin Salam berkata: "Kamu bohong! Sesungguhnya dalam Taurat ada hukum rejam!" Lalu mereka membawa Kitab Taurat dan membukanya. Seorang di antara mereka meletakkan tangannya atas ayat rejam (menutupinya). Maka dibacanya yang sebelum dan sesudahnya (yang tidak tertutup). Kata Abdullah bin Salam: "Angkatlah tangan engkau!" Lalu diangkatnya tangannya. Kebetulan di situ ada ayat rejam (dilempari dengan batu sampai mati). Mereka berkata: "Benar, wahai Muhammad. Di dalamnya ada ayat rejam". Maka diperintahkan oleh Rasulullah supaya direjam, lalu keduanya direjam. Kata Abdullah: "Saya lihat lelaki itu tersungkur di atas perempuan yang ditutupi oleh batu.