Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA gembira puasa BERJAYA MENCAPAI 80 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

1  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0935.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: 'Aku ini puasa.' Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya. "

2  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1419.
Dari 'Imran bin Hushaill r.a., katanya: Saya masuk ke tempat Nabi s.a.w. dan saya tambatkan unta saya di pintu. Kemudian datang rombongan dari Bani Tamim mengadap beliau. Beliau lalu bersabda: "Terimalah khabar gembira, hai Bani Tamim!" Mereka berkata: "Tuan telah memberi khabar gembira pada kami, maka berilah kami harta dua kali lipat!" Sesudah itu masuk ke tempat beliau rombongan dari Yaman. Beliau lalu bersabda: "Terimalah khabar gembira, yang tidak diterima oleh Bani Tamim, hai penduduk Yaman!" Mereka itu berkata: "Kami terima, hai Rasulullah" Mereka berkata lagi: "Kami datang kepada tuan hendak menanyakan hal ini (alam)". Beliau bersabda: "Tuhan telah ada, dan belum ada sesuatu selainNya dan 'ArsyNya di atas air. Tuhan menuliskan segala sesuatu selainNya di dalam buku peringatan, dan diciptakanNya langit dan bumi". Ada seseorang yang berteriak: "Unta engkau telah pergi, hai Ibnu Hushain!" Lalu saya berjalan kebetulan unta itu telah melampaui fatamorgana (telah jauh). Demi Allah! Saya ingin kalau unta itu saya biarkan saja pergi!

3  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1876.
Dari Abu Musa Al Asyari r.a. katanya: Nabi saw. masuk ke sebuah kebun di Madinah untuk hajat (buang air). Saya mengikutinya dari belakang. Setelah beliau masuk ke dalam kebun itu, saya duduk di pintu kebun itu dan mengatakan (dalam hati), bahawa pada hari ini saya menjadi pengawal Nabi saw. padahal beliau tidak memerintahkan kepada saya. Setelah Nabi saw. pergi dan selesai hajatnya, beliau duduk di tepi kolam. Lalu dibukanya kedua betisnya dan dimasukkannya ke dalam kolam. Maka datanglah Abu Bakar meminta supaya diizinkan masuk. Saya mengatakan kepadanya: "Tunggulah di sini, nanti saya akan memintakan izin (masuk) untuk engkau." Lalu dia berdiri dan saya datang kepada Nabi saw. mengatakan: "Hai Nabi Allah! Abu Bakar meminta izin untuk menemui engkau." Jawab Nabi: "Izinkanlah dan sampaikan kepadanya berita gembira akan memperoleh syurga!" Abu Bakar masuk ke dalam dan duduk sebelah kanan Nabi saw. Lalu dibukanya kedua betisnya dan dimasukkannya ke dalam kolam. Kemudian itu datang Umar dan saya katakan kepadanya: "Tunggulah di sini, nanti saya akan memintakan izin (masuk) untuk engkau." Nabi saw. mengatakan: "Izinkanlah dia dan sampaikan kepadanya berita gembira akan masuk syurga." Lalu dia masuk dan duduk di kiri Nabi saw. dan dibukanya kedua betisnya dan dimasukkannya ke dalam kolam. Maka penuhlah tepi kolam (di sebelah Nabi) dan tidak ada lagi tempat di situ. Kemudian itu datang Usman, lalu saya katakan: "Tunggulah di sini, nanti saya memintakan izin (masuk) untuk engkau." Kata Nabi saw.: "Izinkanlah dia dan sampaikanlah kepadanya berita gembira akan masuk syurga dengan cubaan yang menimpanya!" Lalu dia masuk dan tidak memperoleh tempat duduk, kerana itu dia berpindah ke tepi kolam di hadapan Nabi. Lalu dibukanya betisnya dan dimasukkannya ke dalam kolam. Ketika itu saya sangat mengharapkan dan mendoakan kepada Tuhan akan kedatangan saudara saya."

4  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1551.
Dari Anas r.a.: Ada seorang laki-laki menanyakan kepada Nabi s.a.w. mengenai kiamat. Katanya: "Bilakah hari kiamat?" Beliau bersabda: "Apakah yang telah engkau siapkan untuk hari itu?" Katanya: "Tiada suatu pun selain mencintai Allah dan RasulNya". Beliau bersabda: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: Belum pernah kami gembira seperti kegembiraan kami kerana mendengar sabda Nabi s.a.w.: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: "Saya mencintai Nabi, Abu Bakar, dan Umar dan saya mengharapkan kiranya saya bersama mereka kerana mencintai mereka, sekalipun saya belum beramal serupa amal mereka".

5  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1733.
Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Allah lebih gembira dengan taubat salah seorang hambaNya dari pada kegembiraan seseorang kamu kerana menemukan untanya kembali setelah tadinya hilang di tengah padang pasir yang luas."

6  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1770.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Ada beberapa orang bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah kami melihat Tuhan di hari kiamat?" Jawab Nabi: "Adakah kamu ragu menampak matahari yang tidak ditutupi awan?" Jawab mereka: ''Tidak, ya Rasulullah!" Tanya Nabi: "Adakah kamu ragu menampak bulan di malam purnama yang tiada ditutupi awan?" Mereka menjawab: "Tidak, ya Rasulullah!" Nabi berkata: "Sesungguhnya begitulah kamu melihat Tuhan di hari kiamat." Tuhan akan mengumpulkan manusia (di hari kiamat), lalu Dia berfirman: "Siapa yang menyembah sesuatu, hendaklah diikutinya!" Lalu orang yang menyembah matahari, yang menyembah bulan dan yang menyembah berhala mengikuti pujaannya. Maka tinggallah umat ini (yang menyembah Allah), termasuk orang-orang munafik. Maka datanglah Tuhan kepada mereka dalam rupa yang bukan mereka ketahui, lalu Dia berkata: "Aku Tuhan kamu." Mereka berkata: "Kami berlindung kepada Allah terhadap engkau. Kami akan tetap di sini, sampai Tuhan kami datang. Apabila Dia datang nescaya kami akan mengenalNya." Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka kenal dan berkata: "Aku Tuhan kamu." Mereka menjawab: " Engkau Tuhan kami!" Mereka hendak mengikuti Tuhan. Maka dibentangkan titian melintasi neraka. Rasulullah saw. bersabda: "Akulah orang yang pertama melalui titian itu. Doa Rasul-rasul ketika itu ialah: "Ya Allah, selamatkan, selamatkan!" Pada titian itu ada beberapa kaitan, serupa dengan duri kayu Saadan. Sudah pernahkah kamu melihat duri kayu Saadan itu?" Mereka menjawab: "Sudah, ya Rasulullah!" Kata Nabi: "Sesungguhnya kaitan itu serupa duri kayu Saadan, tetapi ukuran besarnya hanya Allah yang mengetahui. Setiap orang disambarnya menurut amalan masing-masing. Ada yang binasa kerana amalnya dan ada yang terganggu, kemudian selamat. Setelah Allah selesai mengadili hamba-hambaNya dan hendak mengeluarkan dari neraka siapa yang hendak dikeluarkanNya dari antara orang yang pernah mengucapkan pengakuan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, diperintahkanNya malaikat mengeluarkan mereka dari neraka dan dapat dikenal dengan bekas Sujud (s olat). Tuhan melarang api neraka memakan (membakar) bekas sujud itu. Lalu disiramkan kepada mereka air yang dinamakan "air kehidupan". Maka tumbuhlah badan mereka bagai bibit di atas sampah bekas banjir." Tinggal lagi seorang yang mukanya menghadap ke neraka dan dia mendoa: "Ya Tuhan! Sesungguhnya sangat menyakitkan aku bau neraka dan nyalanya membakar aku. Sebab itu, palingkanlah muka ku dari neraka!" Orang itu terus mendoa dan Tuhan menjawab: "Boleh jadi jika permintaan engkau itu Aku beri, engkau akan meminta lagi yang lain?" Jawabnya: "Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain." Lalu dipalingkan Tuhan mukanya dari neraka. Sesudah itu dia memohon lagi: "Ya Tuhan ku! Dekatkanlah kiranya aku ke pintu syurga!" Tuhan berkata: "Bukankah engkau telah mengatakan, tidak akan meminta lagi hal yang lain? Ah, anak Adam! Engkau amat penipu!" Orang itu sentiasa mendoa, lalu Tuhan menjawab: "Boleh jadi jika Aku perkenankan permintaan engkau itu, engkau akan meminta lagi yang lain?" Katanya: "Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain." Dikemukakan Allah perjanjian yang dikehendakiNya, ahawa orang itu tidak akan meminta lagi hal yang lain. Lalu dia, didekatkan Tuhan ke pintu syurga. Setelah dilihatnya apa yang ada dalam syurga, dia diam barang seketika. Sesudah itu dia, memohon lagi: "Ya Tuhan ku! Masukkanlah aku ke dalam syurga!" Tuhan berkata lagi: "Bukankah engkau telah mengakui tidak akan meminta kepada Ku tambahannya? Ah, anak Adam! Engkau amat penipu!" Lalu dia memohon: "Ya Tuhan ku! Janganlah kiranya, Engkau jadikan aku makhluk yang amat malang!" Orang itu sentiasa mendoa, sampai Tuhan gembira. Setelah Tuhan gembira, diizinkannya orang itu masuk ke dalam syurga. Setelah dia masuk syurga, dikatakan kepadanya: "Kemukakanlah keinginanmu selain ini" Lalu dikemukakannya keinginannya. Dikatakan lagi kepadanya: "Kemukakanlah keinginan kamu, selain ini!" Lalu dikemukakannya segala keinginannya sampai habis segala keinginannya. Lalu Tuhan berfirman: "Semua ini untuk engkau dan ada lagi tambahannya sebanyak itu pula."

7  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1757.
Dari Ibnu Umar r.a. katanya: "Rasulullah saw. bersabda: "Setelah penghuni syurga masuk ke dalam syurga dan penghuni neraka masuk ke dalam neraka, kematian itu dibawa dan diletakkan antara syurga dan neraka, lalu disembelih. Kemudian itu ada orang yang meneriakkan : "Hai isi syurga! Tidak ada lagi kematian. Hai isi neraka! Tidak ada lagi kematian." Karena itu kegembiraan isi syurga bertambah dari kegembiraan yang telah ada. Sebaliknya isi neraka bertambah kesedihannya dari kesedihan yang telah ada."

8  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0980.
Dari Abdullah bin 'Amru r.a., katanya: "Diceritakan orang kepada Rasulullah saw. bahawa aku pernah bersumpah, "Demi Allah! Sesungguhnya aku akan puasa sepanjang siang dan aku berdiri (solat) sepanjang malam, selama hidupku." Kataku kepada Rasulullah saw. "Benar, ya Rasulullah! Sesungguhnya saya telah berkata demikian. Saya tebus engkau dengan bapa dan ibu ku." Sabda nabi saw., "Sesungguhnya engkau tidak akan sanggup melakukannya. Puasalah dan berbukalah; bangunlah dan tidurlah; puasalah dalam sebulan tiga hari; sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas sepuluh kali lipat. Yang demikian itu seperti puasa sepanjang masa." kataku, "Saya sanggup lebih daripada itu." Sabda Nabi saw., "Puasalah sehari dan berbukalah dua hari." Kataku,"Saya sanggup lebih daripada itu." Sabda Nabi,"Puasalah sehari dan berbukalah sehari. Yang demikian itu adalah seperti puasa Nabi Dawud a.s., dan itulah puasa yang utama." Kataku, "Sesungguhnya saya sanggup lebih daripada itu." Sabda Nabi saw., "Tiada lagi yang melebihi itu."

9  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0979.
Dari Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda kepadanya: "Wahai Abdullah! Benarkah khabar orang kepada ku, bahawa engkau puasa sepanjang siang dan bangun untuk solat sepanjang malam?" Jawab ku, "Benar, ya, Rasulullah!" Sabda Nabi saw., "Janganlah engkau lakukan lagi. Puasalah sehari dan berbukalah sehari. Bangunlah dan tidurlah! Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu; matamu mempunyai hak atasmu; isteri mu mempunyai hak atasmu; dan tamumu mempunyai hak atasmu. Dan sesungguhnya cukuplah kiranya jika engkau puasa tiap-tiap bulan tiga hari. Maka untuk setiap kebaikanmu akan dibalas sepuluh kali lipat. Sesungguhnya yang demikian itu sama dengan puasa sepanjang masa." Kerana aku minta diperbanyak, maka diperbanyak untukku. Aku berkata, "Ya, Rasulullah! Sesungguhnya aku sanggup." Jawab Nabi saw., "Puasalah seperti puasa Nabi Dawud 'Alaihis Salam dan jangan engkau lebihi dari itu." Tanya ku, "Bagaimana puasa Nabi Dawud a.s"?" Sabda beliau, "Seperdua masa." Setelah masa tuanya, Ahdullah berkata, "Wahai kiranya saya terima kelonggaran dari Nabi saw."

10  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0928.
Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Nabi saw. puasa pada hari Asyura dan beliau perintahkan mempuasakannya. Setelah puasa Ramadhan diwajibkan ditinggalkannya (puasa Asyura). Dan biasanya Abdullah (Ibnu Umar) tidak puasa pada hari itu kecuali kalau bertepatan dengan hari yang ia biasa berpuasa pada hari itu."